Ramai tidak bayar cukai
Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) LHDN Datuk Dr. Siti Mariam Che Ayub berkata, ini disebabkan ramai di antara mereka terutama di kawasan luar bandar tidak mempunyai kemahiran dalam penyimpanan akaun bagi membolehkan membuat pembayaran mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan di bawah akta lembaga itu.
Katanya, LHDN akan terus meningkatkan gerakan kesedaran di kalangan orang ramai, terutama individu dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.
"Di antara gerakan itu ialah mengadakan Ops Mesra Hasil di seluruh negara dengan menumpukan di kawasan sasaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Mesra Hasil peringkat Nasional Siri 2/2012, di Kota Bharu.
Dr. Siti Mariam berkata, sempena operasi selama tiga hari di Kelantan mulai hari ini, pihaknya mensasarkan serahan notis tuntutan hasil sebanyak 354 kes melibatkan jumlah tunggakan RM15.90 juta, merangkumi 295 kes individu dan 59 syarikat.
Katanya, operasi yang diadakan setiap tahun itu untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pematuhan secara sukarela di kalangan pembayar cukai dan mengurangkan jumlah tunggakan hasil.
Selain itu ia juga bagi membantu meningkatkan kutipan cukai dan membesarkan asas cukai serta menambah bilangan pembayar cukai baru.
Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan semasa Ops Hasil selama tiga hari itu ialah menyerahkan notis tunggakan hasil dan saman, lawatan banci bisnes untuk membuat bancian sama ada pemilik perniagaan sudah mendaftar sebagai pembayar cukai atau belum dan memberi pendidikan cukai melalui penyebaran risalah di premis perniagaan yang dilawati.
Katanya, pihaknya sedia membantu dengan memberi khidmat nasihat kepada pembayar cukai yang tidak memahami mengenai akaun bagi memudahkan mereka membuat pembayaran.
"Kebanyakan peniaga yang layak membayar sebagai pembayar cukai tidak membuat rekod penyimpanan perniagaan yang kemas menyebabkan mereka gagal membuat pembayaran mengikut peraturan," katanya.
- BERNAMA