Buat pinjaman bank, syarikat kewangan, ah long untuk beraya?


Oleh Fauziah Arof

MEMANDU di jalan raya yang sesak sambil melayan radio dalam perjalanan ke pejabat dalam bulan Ramadan ini, saya mendengar bermacam-macam iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan perayaan itu.

Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk perkhidmatan.

Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk menyambut Syawal ini.

Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000!

Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan langsung atau terdesak pun.

Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat ceti-ceti haram atau ah long.

Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu.

Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak banyak.

Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.

Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu meminjam lagi?

Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak.

Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi.

Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan masalah-masalah kewangan.

Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini, di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut raya.

Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya!

Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru. Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.

Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati.

Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita bimbang ramai peniaga yang ‘gatal’ menaikkan harga barangan. Selain isu harga, kualiti barangan juga perlu ditengok sama.

Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih, tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin menganggu kesejahteraan dan kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url