Menangkis mitos Yahudi
Walaupun seluruh dunia tahu Israel adalah bangsa yang menceroboh tanah air Palestin tetapi ada juga yang mempercayai mitos Israel mempunyai hak ke atas negara Palestin. Mitos ini disebarkan oleh sarjana Yahudi yang menguasai pemikiran manusia di seluruh dunia. Banyak sejarawan dan sarjana Yahudi menjadi revisionis yang membuat interpretasi yang memberi keuntungan kepada bangsa Yahudi khususnya dalam konflik Israel - Palestin.
Buku ini adalah satu pandangan akademik Finkelstein yang menafikan tesis sarjana Yahudi seperti Joan Peter, Benny Moris dan Anita Shapira terhadap konflik Israel - Palestin. Misalnya beliau menyanggah tesis Joan Peter yang mengatakan bangsa Palestin sebenarnya pendatang dari negara- negara berdekatan seperti Syria.
Hujahan pengarang disebut pada bab bertajuk A Land Without People. Hujahan berserta rujukan dan bukti sejarah yang kukuh itu telah menukarkan A Land Without People menjadi "people without a land". Ini merujuk kepada nasib yang menimpa rakyat Palestin yang semakin hari semakin kecil tanah air yang mereka miliki.
Pengarang buku ini pula dianggap sarjana radikal kerana mempertikaikan versi sejarah rasmi konflik tersebut. Finkelstein adalah seorang sarjana Yahudi yang mengemukakan banyak fakta bahawa Israel yang menceroboh negara Palestin. Walaupun beliau Yahudi, tetapi hasil penyelidikan telah membuktikan realiti yang berlaku dalam konflik tersebut. Beliau sama seperti beberapa sarjana Yahudi yang menentang kewujudan"negara Israel" antaranya Noam Chomsky dan Israel Shahak. Bagi sarjana-sarjana ini Israel tidak ada hak untuk menubuhkan negara di negara Palestin. Chomsky misalnya pernah berkata, menyokong Israel sama dengan menyokong kebiadapan dan menentang tamadun.
Doktrin zionisme yang disebarkan di seluruh dunia oleh sarjana Yahudi yang pro Israel membuatkan pengarang buku ini pula dianggap revisionis kerana membentangkan kononnya fakta baru konflik Israel - Palestin. Sebenarnya bukan fakta baru tetapi yang dipadam oleh sarjana pro Israel.
Buku ini dihasilkan oleh ahli akademik yang menjunjung prinsip akademik melampaui sentimen bangsa. Maka tidak hairanlah kalau beliau berada di sebelah Palestin untuk memperjelaskan mitos beberapa sarjana Yahudi sebelum ini yang bercanggah dengan fakta sejarah.
Beliau tidak terperangkap dengan doktrin zionis hingga melakukan penyelewengan akademik terhadap fakta sejarah. Buku ini sangat sesuai untuk dihayati oleh rakyat dan pemimpin politik Amerika Syarikat (AS) yang selalu berat sebelah apabila bercakap isu Israel - Palestin. Mereka lebih kepada Israel tambahan pula dalam hubungan antarabangsa Israel menjadi wakil AS di dunia Arab.
Buku edisi kedua ini cuba berlaku jujur kepada sejarah dengan menambahkan nota kaki sebanyak 101 halaman berbanding edisi pertama yang diterbitkan tahun 1995. Ini untuk memberi peluang kepada mereka yang serius menekuni isu ini mendapat rujukan-rujukan tambahan berkaitan konflik berkenaan.
Kalangan sarjana Yahudi yang pro doktrin Zionisme menganggap kelahiran buku ini sebagai "peperangan" sarjana yang tidak berakhir selepas berakhirnya perang Israel - Arab. Fakta-fakta yang dikemukakan oleh pengarang buku ini dianggap peluru untuk menyerang sarjana Yahudi sebelum ini yang menyokong pencerobohan di negara Palestin.
Memang sarjana Yahudi dan penganut doktrin zionis tidak berkenan dengan buku ini. Apa lagi dilakukan oleh ahli sarjana Yahudi sendiri. Inilah yang menarik tentang buku ini di mana ahli akademik Yahudi berperang sesama sendiri, satu pihak memilih kebenaran sejarah dan satu pihak lagi memilih mitos.
Edisi kedua yang mengemukakan sekian banyak rujukan itu memungkinkan hujahan dalam buku Image and Reality of the Israel - Palestine Conflict mendapat gambaran yang sebenar. Ternyata edisi kedua dapat memberikan gamparan lebih jelas dengan nota kaki rujukan yang sebanyak itu. Kesimpulan daripada buku ini sekali lagi membuktikan Israel bangsa yang menceroboh kedaulatan negara Palestin dan dibantu oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 1948. Ini juga hasil konspirasi Yahudi yang mengawal hala tuju PBB untuk melenyapkan negara Palestin dan diberikan kepada Israel.
- UTUSAN