Teksi Air Melaka
TEKSI sememangnya sinonim dengan bandar-bandar besar dunia. Pengangkutan awam darat itu dianggap cekap dan selesa. Malah, di kota seperti New York, Amerika Syarikat, teksi berwarna kuning sudah menjadi identiti bandar itu.
Bagaimanapun, tidak banyak bandar yang memiliki teksi air seperti yang dirintis oleh Kerajaan Negeri Melaka.
Idea itu dicetuskan pada tahun 2009 selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berpendapat teksi air boleh menjadi kenderaan alternatif bagi mengatasi kesesakan jalan raya di sekitar bandar Melaka.
Bandar Raya Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESSCO pada Julai 2008 sekali gus menambah bilangan trafik yang memasuki bandar itu.
Melaka memiliki teksi air pertama pada tahun 2010. Perkhidmatan itu diuruskan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) namun, teksi itu buat masa ini lebih banyak digunakan untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Melaka dan pulau-pulau di perairan negeri itu.
Hadir dengan kelas tersendiri, bot teksi itu dibeli daripada sebuah syarikat pembuat kapal di Manchester, Britain.
Berharga RM280,000, bot itu menggunakan dua buah enjin Honda V Tech 2.4 yang boleh menjana pecutan 300 kuasa kuda. Tahap kelajuannya sama seperti anda menaiki sebuah kereta lumba di atas air.
Pengurus Melaka River Cruise, Sulaiman Daud yang ditemui Jurnal baru-baru ini dengan nada teruja bercerita tentang Teksi Air Melaka iaitu produk pelancongan atas air kedua selepas perkhidmatan menyusuri Sungai Melaka dengan bot yang juga dikenali Melaka River Cruise.
Kedua-dua perkhidmatan itu beroperasi dari Jeti Taman Rempah tetapi berbeza dari segi jenis bot yang digunakan serta destinasi dan perhentian.
Melaka River Cruise hanya berlegar di tujuh perhentian di sepanjang Sungai Melaka manakala Teksi Air Melaka akan membawa penumpang sehingga ke laut dan pulau-pulau di negeri ini.
Biawak
"Walaupun baru dilancarkan pada awal tahun 2010, sambutan yang diterima cukup baik. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelancong tempatan dan luar negara," beritahu Sulaiman.
Teksi air ini juga dimuatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) edisi kelapan sebagai teksi air pertama di negara ini. Bot berwarna kuning itu muat untuk 12 orang. Bayaran bagi satu perjalanan ialah RM600 bagi penumpang berkumpulan. Bagi individu pula, bayaran RM50 seorang dikenakan dengan minimum lima orang.
Bayaran RM50 itu sememangnya berbaloi. Tutur Sulaiman, dengan bayaran sebanyak itu, pengunjung dapat melihat keindahan Sungai Melaka yang bersih.
"Bermula dari Jeti Taman Rempah, pengunjung boleh melihat Kampung Morten iaitu antara kampung tercantik di negara ini.
"Kemudian mereka akan dibawa menyusuri Taman Lanun, Kampung Jawa, Padang Nyiru, Menara Jam, Jonker Walk dan Jeti Muara," ujarnya.
Selepas itu, mereka dibawa melihat pulau-pulau di perairan Melaka seperti Pulau Upeh, Undan, Nangka, Hanyut dan Pulau Besar.
"Penumpang cuma boleh mendarat di Pulau Besar kerana pulau lain tidak mempunyai kemudahan jeti," jelas Sulaiman.
Pengalaman menaiki Teksi Air Melaka memberikan persepsi tersendiri kepada kru Jurnal. Ruang dan tempat duduknya cukup selesa. Bermula dari Jeti Taman Rempah, pemandangan di sepanjang laluan sukar digambarkan dengan perkataan.
Sudut pandang di kiri dan kanan sungai membangkitkan keterujaan dengan deretan bangunan bersejarah.
Selain itu, lukisan mural di sesetengah bangunan ibarat satu visual sejarah mengenai negeri itu. Penumpang juga dapat melihat biawak bersaiz besar berenang dan berehat di tepi sungai.
"Biawak ini dijaga oleh pihak kami dengan memberinya makan sisa ayam. Kos makanan untuk kira-kira 10 ekor haiwan itu mencecah ratusan ringgit sebulan tetapi berbaloi bagi mewujudkan persekitaran semula jadi di sini," cerita Sulaiman.
Namun, impian untuk melihat kesemua pulau itu tidak terlaksana kerana cuaca buruk. Bot terpaksa berpatah balik ke Jeti Taman Rempah.
Seorang penumpang teksi air, Bernard Kenneth Goody, 50, berkata, dia tidak menyangka ada kemudahan teksi air di sungai dan laut Melaka.
Menari
"Ini merupakan salah satu produk pelancongan terbaharu yang sepatutnya menjadi ikutan negeri-negeri lain," katanya.
Pelancong dari Paris, Perancis, Mandy Moore memberitahu, dia teruja dapat menaiki teksi air yang laju itu.
"Seperti menaiki kereta lumba pula, tetapi kenderaan ini dibina dengan konsep terbuka, jadi ruangnya lebih selesa. Angin semula jadi sudah memadai bagi menggantikan kipas atau alat pendingin hawa," katanya.
Rakannya, Robert Nail berpendapat, kemudahan teksi itu dapat dibuat di bandar lain yang mempunyai sungai bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
"Jalan raya sering sesak dengan kenderaan, jadi sungai boleh menjadi laluan alternatif satu hari nanti sama seperti zaman dahulu," katanya ketawa.
Pemandu kenderaan tersebut, Hassan Mohamad turut berkongsi cerita tentang pengalaman menjadi pemandu teksi air itu selama lima tahun.
"Biasalah penumpang ada bermacam ragam tetapi pelancong dari Asia Barat dan Afrika agak lucu sedikit. Ini kerana setiap kali menaiki bot mereka tidak boleh duduk diam sebaliknya sering berdiri sambil menyanyi.
"Akhirnya saya juga ikut menyanyi," cerita beliau.
- KOSMO!