Fenomena ala Gangnam Style pernah melanda Eropah seawal kurun ke-7
Fenomena tarian kuda yang dibawa oleh penyanyi rap Korea Selatan, Park Jae-sang atau Psy menerusi Gangnam Style bukan perkara baharu, malah pernah berlaku pada kurun ke-7 hingga ke-17 di Eropah.
Menurut Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris, fenomena itu dikenali sebagai dance mania atau wabak menari, choreomania, tarian St. John dan tarian St. Vitus.
"Pada waktu itu, ia melibatkan sehingga ribuan orang yang menari dalam keadaan yang pelik, tidak terkawal sambil menjerit dan menunjukkan tanda-tanda halusinasi.
"Antara peristiwa besar yang pernah direkodkan ialah di Jerman pada tahun 1374 dan selain peristiwa di Strasbourg, Perancis pada tahun 1518 yang melibatkan seorang wanita menari sehingga diikuti lebih 400 orang sebelum ramai mati kerana sakit jantung," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kegilaan puluhan juta terhadap tarian tersebut yang disiarkan menerusi laman YouTube.
Mohd. Awang menjelaskan, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di England, Jerman dan Belanda dipercayai sejenis penyakit yang menyerang sistem saraf.
"Saintis pada ketika itu menggambarkan ia sebagai satu gangguan mental atau histeria secara beramai-ramai," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menganggap fenomena tersebut tidak membimbangkan dan hanya bersifat sementara.
- KOSMO!