Was-was status gaji
SOALAN:
SAYA bekerja di syarikat telekomunikasi tempatan. Saya terfikir berkenaan prosedur syarikat jika pelanggan tidak membayar bil, pemotongan dijalankan, tetapi bil bulanan masih perlu dijelaskan seperti biasa.
Apakah hukum duit yang diambil daripada pengguna walaupun disekat menggunakan perkhidmatan. Bagaimana pula dengan faedah, caj tambahan atau denda yang dikenakan ke atas pembayaran lewat itu?
Saya bimbang dengan status gaji yang diperoleh daripada majikan sama ada halal atau haram.
JAWAPAN:
STATUS gaji yang diperoleh tetap halal kerana kita dibayar upah menurut terma pekerjaan yang dilakukan, contohnya kerani.
Bagaimanapun, prosedur syarikat telekomunikasi tempat bekerja dikira tidak betul apabila cara yang dibuat sememangnya untuk mengambil wang pelanggan tanpa hak.
Ia perlu dikaji supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan. Pihak syarikat dan kerajaan perlu melihat permasalahan itu serta diperbetulkan sedapat mungkin.
Islam sebenarnya berusaha supaya tidak berlaku perbuatan mengambil harta orang tanpa hak seperti yang anda nyatakan. Ia jelas dalam mesej Nabi Syuaib dalam al-Quran. Allah berfirman dengan maksud:
“Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu.
Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia sesuatu yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menjadikannya dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah al-A’raf (7): 85)
- HARIAN METRO
Good question & answer.. Kalau kerja bank pula macam mana? Sebab kebanyakan bank ambil riba' melalui loan yang dibuat oleh pelanggan. Then membayar bonus berbulan-bulan pada kakitangan mereka hasil daripada sumber tersebut.. (Tak semua bank) Camne plak tu? :)