Internet Jalur lebar mampu milik 1Malaysia diperkenalkan
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pakej itu diperkenalkan berikutan kadar penembusan jalur lebar di negeri-negeri terbabit masih belum mencapai kadar penembusan jalur lebar kebangsaan iaitu 64 peratus.
"Hibah tentang kadar ini telah difikirkan terbaik bagi negara dan masyarakat. Kita cuba dulu dan sekiranya dapat sambutan kita akan perluaskan.
"Kita pohon kadar ini (harga pakej) disampingkan dengan kualiti, kejelasan suara, tidak ada panggilan yang terencat dan terputus dan perkara yang terkandung dalam piagam masing-masing (syarikat telekomunikasi),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pakej itu di sini hari ini.
Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia dari harga RM20 sebulan untuk perkhidmatan tanpa wayar dan RM38 sebulan untuk perkhidmatan berwayar adalah sebagai inisiatif mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat di negara ini.
Pakej perkhidmatan tanpa wayar yang ditawarkan ialah antara RM20 ke RM25 sebulan bagi kelajuan jalur lebar minimum 512kbps dengan kapasiti 1GB manakala bagi pakej perkhidmatan berwayar adalah RM38 dengan kelajuan jalur lebar minimum 384kbps dan kapasiti tanpa had.
Rais dalam ucapannya sebelum itu meminta syarikat telekomunikasi di negara ini meningkatkan perkhidmatan jalur lebar khususnya di negeri-negeri yang mempunyai kadar penembusan jalur lebar yang lebih rendah berbanding kadar penembusan kebangsaan.
Di samping itu beliau juga meminta syarikat telekomunikasi menangani masalah talian terputus yang sering mendapat aduan daripada pengguna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd Datuk Seri Shazalli Ramly berkata usahasama antara syarikat telekomunikasi dengan kerajaan bukan sahaja untuk menyokong misi kementerian tetapi juga tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat di negara ini.
"Kerjasama antara kementerian dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah membuktikan industri ini adalah antara yang paling pesat, namun paling berkembang maju dalam kalangan industri lain di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA