Makin ramai sakit gastrik
Memang enak makan berasaskan makanan seperti itu, apatah lagi ia sememangnya selera Asia. Namun tahukah anda, memakan makanan berkenaan tanpa pemantauan sepatutnya boleh menyebabkan seseorang itu diserang simptom pedih hulu hati atau refluks gastroesofagus (GERD).
Masalah ini menjadikan penyakit ini kerap berlaku di Asia dan makin meningkat disebabkan perubahan diet, obesiti dan tekanan.
Menurut Gastroenterologi Ubat Dalaman, Hospital Universiti Santo Tomas, Dr Denis C Ngo, pakar perubatan kini melihat peningkatan bilangan kes keadaan gangguan gastrousus (GI) teruk dan kronik seperti GERD, ulser peptik dan pedih hulu hati.
Di Filipina, kelaziman esofagitis menghakis (radang esofagus disebabkan GERD) meningkat daripada 2.9 peratus kepada 6.3 peratus dalam tempoh enam tahun.
“Di Malaysia, penyakit ini meningkat dua peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun manakala kajian trend semasa menunjukkan kadar esofagitis di Taiwan meningkat lebih dua kali ganda iaitu lima peratus kepada 12.6 peratus dalam tempoh tujuh tahun.
“Kelaziman gejala ini disebabkan GERD di Asia Timur (China, Jepun, Korea dan Taiwan) meningkat daripada 5.2 peratus pada 2005 kepada 8.5 peratus pada 2010.
“Selain pedih hulu hati, pesakit GERD dan GI mengalami kesukaran menelan (disfagia), kekurangan tenaga, gangguan tidur dan kualiti hidup lebih rendah berbanding keadaan penyakit kronik lain seperti kencing manis, artritis atau kegagalan jantung kongestif,” katanya pada sidang media mengenai gastrousus rantau Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kelaziman pesakit GERD lebih tinggi di Asia. Keadaan ini membimbangkan sehingga pesakit bukan hanya memerlukan kelegaan cepat bagi keadaan GI, malah rawatan berkekalan menggunakan perencat pam proton (PPI) dalam jangka panjang.
PPI disahkan sebagai rawatan asas kawalan dan pengurusan GI berkaitan asid kronik. Ia merencatkan enzim (susu protein dalam sel perut yang menghasilkan asid) bagi merembeskan asid.
Profesor Emeritus David A Peura dari Pusat Pengajian Perubatan Universiti Virginia, Amerika Syarikat, pula berkata, peningkatan kelaziman keadaan GI kronik berlaku di Asia diiringi kebimbangan kesan jangka panjang penggunaan PPI.
“Memandangkan ramai pesakit mengambil kedua-dua PPI dan clopidogrel, penting untuk memahami jika interaksi negatif antara kedua-duanya adalah ‘class effect’ dan sama ada wujud pilihan optimum bagi pesakit perlu mengambil kedua-duanya untuk merawat penyakit mereka.
“Kajian menunjukkan tidak semua PPI merencat keberkesanan clopidogrel pada tahap sama. Penemuan ini mempunyai implikasi mendalam berkenaan bagaimana doktor boleh memilih PPI lebih selamat,” katanya.
Hasil data keselamatan yang dikeluarkan doktor dan pesakit mempunyai lebih jaminan bahawa terapi PPI selamat digunakan untuk rawatan jangka masa panjang bagi GERD dan keadaan gastrousus teruk.
Makanan dan minuman yang perlu dielak jika anda menghidap GERD
Arak
Minuman berkafein
Minuman berkarbonat
Coklat
Buah-buahan sitrus
Perasa pudina
Makanan lemak atau bergoreng
Makanan pedas, terutama berperisa bawang putih dan bawang merah
Makanan berasaskan tomato seperti piza atau sos spageti atau cili
Rawatan
Kebanyakan individu boleh mengawal rasa kurang selesa pedih hulu hati dengan mengamalkan cara hidup sihat tanpa ubat-ubatan dan preskripsi doktor. Namun, jika semakin teruk, ubat-ubatan itu mungkin hanya membantu mereka buat sementara waktu. Jika mengalami GERD, anda mungkin memerlukan ubat-ubatan lain bagi menghilangkan gejala
Jika pedih hulu hati semakin teruk, anda boleh menghilangkannya dengan menukar tabiat pemakanan, selain paling utama, berhenti merokok
INFO
Simptom GERD
Muntah asid (asid regurgitation)
Terasa keasidan dalam perut
Pedih hulu hati
Sakit dada yang terasa sama dengan sakit dada disebabkan sakit jantung
Ketidakhadaman makanan (dyspepsia)
Terasa pahit atau masam pada mulut
Kerap sendawa
Kesukaran menelan makanan atau tercekik
- HARIAN METRO