Pijak Gambar Pemimpin Tindakan Memalukan - Nik Aziz



KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad menyifatkan tindakan segelintir pihak memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur Khamis lepas sebagai amat memalu dan mendukacitakan.

Beliau berkata tindakan itu langsung tidak mencermin serta melambangkan sikap orang Melayu dan Islam yang mengamalkan tata susila yang tinggi sejak sekian lama. "Kerja ini bukan kerja orang Melayu dan orang Islam. Orang Islam pun tidak, orang Melayu pun tidak.

"Ini sangat mendukacitakan dan memalukan, gambar yang saya tengok itu bukan Melayu (yang melakukannya).

"Kita orang Islam diajar jangan buat kepada orang lain. Kalau orang lain buat kepada kita, (maka) kita akan marah," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita pada jamuan Aidilfitri Sinar Harian di Pengkalan Chepa, di sini.

Beliau mengulas tindakan biadab sebilangan peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada malam sambutan itu di Dataran Merdeka.

Nik Aziz juga tidak bersetuju dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang dikatakan menukar bendera Jalur Gemilang dengan bendera baru berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura.

Menurut laporan, parti pembangkang akan menggantikan Jalur Gemilang jika mereka berkuasa.

Nik Aziz berkata bukan perkara mudah untuk menukar bendera sesebuah negara kerana melibatkan pelbagai prosedur sebelum boleh ditukar.

"Nak ganti bukan senang, kena bincang bertahun, apa tujuan kita tukar bendera...bendera kita sudah diterima masyarakat dunia, tidak ada cacatnya," kata beliau.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url