Samsung lancar Galaxy Note 2


SEOUL - Syarikat gergasi elektronik Korea Selatan, Samsung Electronics semalam melancarkan model telefon pintar terbaharunya, Galaxy Note II hanya seminggu selepas telefon pintar iPhone 5 keluaran Apple Inc. dipasarkan.

Galaxy Note II yang diperkenalkan buat pertama kali di Berlin bulan lalu akan dijual di 128 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.

Gajet itu lebih besar daripada model-model utama telefon pintar siri Galaxy S. Seperti model sebelum ini, Galaxy Note II turut didatangkan bersama pen S bagi menulis nota dan melukis pada skrinnya.

Ia dijana perisian Android buatan Google dan dilengkapi pemprosesan quad core yang lebih laju berbanding versi pertama.

Galaxy Note II menampilkan skrin sentuh berukuran 14 sentimeter (sm), lebih besar daripada versi sebelum ini yang bersaiz 13.5sm.

"Kami percaya jualan Galaxy Note II di seluruh dunia untuk tiga bulan pertama akan meningkat tiga kali ganda berbanding model sebelum ini," kata ketua perniagaan komunikasi mudah alih Samsung, J. K. Shin.

Versi terbaharu itu membolehkan para pengguna membahagikan skrin kepada dua bahagian untuk melayari dua program sekali gus pada satu-satu masa.

Galaxy Note pertama terjual lebih 10 juta unit sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

- AFP
 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url