Top Ad 728x90

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) rakam 2,952 imej kesalahan lalulintas


PETALING JAYA 25 Sept. - Selepas dua hari beroperasi, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang ditempatkan di 14 `lokasi maut’ merakamkan 2,952 keping imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang notis saman kerana perlu menilai setiap kesalahan yang dikesan terlebih dahulu.
Menurut beliau, penghantaran notis saman melalui pos akan dibuat dalam tempoh lima hari imej kesalahan itu dirakamkan manakala proses menentukan kesalahan serta pengeluaran notis saman dilakukan oleh pegawai JPJ yang bertugas di pusat kawalan AES.

“Daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 90 imej yang tidak sah dirakamkan pada hari pertama dan 46 imej pada hari kedua.

“Malah JPJ akan melakukan siasatan sekiranya didapati imej yang dirakam tidak sepadan dengan maklumat kenderaan yang terdapat dalam pangkalan data JPJ," katanya ketika memberi taklimat kepada wakil media mengenai sistem itu di Pusat Kawalan AES di sini hari ini.

Sepanjang fasa pertama AES yang bermula kelmarin, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Selepas ini, lebih banyak kamera akan dipasang di 817 `lokasi maut’ dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini.

Menurut Solah, penilaian tersebut dilakukan bagi memastikan saman-saman yang sah mengikut undang-undang sahaja dikeluarkan dan mengelakkan saman dikeluarkan kepada pengguna kenderaan yang tidak bersalah.
Sepanjang taklimat kira-kira dua jam itu, Solah turut membawa pihak media meninjau setiap bilik yang memproses, menilai dan mencetak notis saman tersebut.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90