Badal haji dan korban untuk arwah
Jawapan
Sebelum menjawab soalan ini, kita harus membincangkan satu perkara penting terlebih dahulu. Iaitu apakah orang yang telah meninggal dunia boleh mendapatkan pahala amalan ibadah yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup?
Mengikut kesepakatan (ijmak) ulama daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, orang yang sudah meninggal dunia masih boleh menerima pahala ibadat yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup. Demikian dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn al-Qayyim (w. 751H) dalam kitab al-Ruh.
Dalilnya sangat banyak, salah satunya hadis Nabi SAW yang bermaksud: Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka amalannya telah terputus melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang selalu berdoa untuknya. (riwayat Muslim)
Setelah mengumpulkan pelbagai dalil dalam perkara ini, Imam al-Syafii merumuskan: "Akan sampai kepada mayat daripada amalan orang lain tiga perkara, haji yang dilakukan untuknya, harta yang disedekahkan atau dibayarkan (hutang) untuknya dan doa. Aku mengatakan ini kerana berdalil dengan sunnah dalam perkara haji. Dan umrah serupa dengannya secara qiyas."
Badal haji
Daripada ucapan Imam Al-Syafii di atas, badal haji yang dilakukan untuk arwah, insya-Allah pahalanya akan sampai kepada arwah. Namun, apa hukum membuatkan badal haji itu?
Menurut ulama mazhab Syafii, hukum membuat badal haji terbahagi dua. Wajib jika arwah memang telah wajib melaksanakan ibadah haji semasa hidupnya, namun meninggal dunia sebelum sempat melakukannya. Dalam kes seperti ini, ahli waris wajib mengeluarkan sebahagian daripada harta pusaka peninggalan si mati untuk digunakan membiayai badal haji untuknya.
Berkata Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Idah fi al-Manasik: "Wajib menggantikan (badal) haji bagi si mati jika ia (si mati) berkemampuan untuk haji ketika hidupnya namun tidak sempat melakukannya. Itu pun jika ia meninggalkan harta warisan. Jika tidak, maka bukan kewajipan waris untuk melakukan haji badal baginya."
Jika si arwah sememangnya tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah haji semasa hidupnya, maka ahli waris tidak wajib membuatkan badal haji baginya. Jika mereka ingin membuatkan untuknya juga, maka hukumnya harus. Namun dalam kes ini, waris tidak boleh menggunakan harta pusaka peninggalan arwah untuk membiayai badal haji itu kecuali dengan keizinan seluruh ahli waris.
Siapa yang berminat melakukan badal haji untuk arwah boleh melakukannya sendiri atau menyewa orang lain untuk membuatkan badal haji untuk orang yang dikehendaki. Seseorang yang melakukan badal haji mestilah orang yang pernah melakukan ibadah haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.
Korban untuk arwah
Bagi korban untuk arwah pula telah menimbulkan perselisihan di kalangan para ulama. Mazhab Syafii mengatakan bahawa korban adalah ibadah perseorangan. Oleh itu tidak sah dilakukan oleh orang lain tanpa keizinan daripada empunya diri. Jika orang itu telah meninggal dunia, maka ibadah korban tidak sah tanpa wasiat daripadanya.
Jika arwah pernah berwasiat agar dibuatkan ibadah korban selepas kematiannya, maka ahli waris boleh melakukan korban tersebut. Namun daging korban itu wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.
Demikian kesimpulan hukum korban untuk arwah dalam mazhab Syafii. Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan adanya pandangan berbeza yang berasal daripada ulama mazhab lain.
Mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali, ibadah korban boleh dilakukan untuk arwah biarpun tanpa wasiat daripada si mati. Pahalanya insya-Allah akan sampai kepadanya.
Saya sangat berharap perbezaan pendapat ini tidak menyebabkan perbalahan di antara kita. Sebaliknya, kita mesti ingat bahawa matlamat utama ibadah korban adalah untuk menaati perintah Allah SWT, menzahirkan kesyukuran dan menghidupkan syiar agama di negeri kita.
Kita juga patut sedar bahawa keikhlasan dan ketakwaan yang menentukan nilai ibadah kita. Mana-mana ibadah korban yang benar-benar mengharapkan reda Allah, maka itulah yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.
Allah berfirman: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamu lah yang dapat mencapainya. (al-Hajj: 37)
- UTUSAN