Kanser usus punca sembelit kronik?
Kanser usus merupakan kanser ketiga tertinggi di Malaysia dan statistik daripada Kementerian Kesihatan turut mencatatkan 90 peratus daripada pesakit kanser ini adalah mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Namun, kanser ini turut menyerang golongan muda atas faktor pemakanan dan cara hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam dan merokok.
Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Seenivasagam Theruvenkidan, kanser usus sukar dikesan di peringkat awal kerana kebanyakan pesakit hanya akan mengetahuinya setelah menunjukkan petanda apabila penyakit ini berada di peringkat serius.
"Antara tanda kanser usus sudah kronik ialah apabila pesakit mengalami masalah membuang air besar akibat daripada pembentukan sel kanser di dalam usus besar yang menghalang laluan najis," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Dr. Seenivasagam, sembelit yang kronik merupakan salah satu simptom kepada masalah kanser usus atau kolon apabila sel kanser yang semakin membesar menyebabkan bukan sahaja najis tidak dapat melalui usus dengan sempurna malah terdapat juga masalah lain seperti tidak dapat mengeluarkan angin daripada badan.
Beliau berkata, kesedaran mengenai kanser usus masih lagi kurang dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana ramai pesakit datang berjumpa doktor hanya ketika kanser telah berada di peringkat ketiga dan keempat iaitu peringkat yang serius di mana sel kanser telah merebak ke bahagian usus dan organ badan yang lain.
"Beberapa simptom yang boleh mengesan kanser usus antaranya adalah najis yang bercampur darah, sembelit kronik diselang-seli dengan najis yang berair dan beberapa simptom lain," katanya.
Namun kebanyakan pesakit gagal mengesan kanser ini di peringkat awal dan menurut Dr. Seenivasagam beberapa ujian akan dijalankan untuk mendiagnos penyakit ini.
Antara ujian yang akan dilakukan ialah kolonoskopi yang mana tiub akan dimasukkan ke dalam badan untuk melihat keadaan di dalam kolon.
"Jika terdapat ketumbuhan biasa, ia akan dibuang dengan menggunakan peralatan tersebut dan jika kanser usus dikesan, pembedahan akan dijalankan bagi membuang usus yang dijangkiti sel kanser," katanya.
Setelah pembedahan dilakukan sistem pencernaan akan kembali berfungsi dengan baik dan masalah sembelit akan hilang.
- UTUSAN