3 kategori mudah masuk IPT
Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan 5,200 tempat khusus di politeknik dan universiti untuk golongan itu tanpa mengira kaum dan agama, tetapi mereka perlu memenuhi syarat kemasukan am dan program yang ditawarkan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaksanaan mod kemasukan baru itu yang diluluskan Kabinet barubaru ini membabitkan pelbagai jurusan kecuali program asasi.
Bermula Mei, September
Katanya, seramai 3,200 pelajar akan mengikuti pengajian di 32 politeknik mulai Mei depan, manakala 2,000 di 20 universiti awam pada September menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Setiap universiti dan politeknik akan mengambil 100 pelajar tanpa menjejaskan unjuran dan kapasiti pengambilan sedia ada, manakala sistem kemasukan turut menggunapakai data Unit Pusat Universiti (UPU).
“Mereka (pelajar terpilih) layak mengikuti pengajian di universiti, namun tidak mampu bersaing dari aspek prinsip meritokrasi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi dan ‘Jom Masuk U’ 2013 serta penyerahan Baucar Buku 1Malaysia di Padang Varsiti, Universiti Malaya (UM).
Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ab Rahim Md Noor; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa dan Naib Canselor UM, Prof Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.
Meritokrasi diperkenal pada 2002
Sistem pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan prinsip meritokrasi diperkenalkan pada 2002, membabitkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum.
Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan mod baru itu menjadi akses pengajian tinggi untuk membantu kumpulan sasar meliputi mereka yang bersekolah di sekolah serba kekurangan di pedalaman Sabah dan Sarawak dan kawasan ladang di Semenanjung.
Katanya, sejumlah 7.1 peratus rakyat negara ini menetap di luar bandar yang hidup di bawah garis kemiskinan serta kurang berkemampuan dari aspek sosio-ekonomi dan kurang mendapat kemudahan disediakan kerajaan.
Pada masa sama katanya, ada golongan miskin bandar yang terpinggir dan tersisih dari arus pembangunan, selain Bumiputera Sabah dan Sarawak yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.5 yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti.
Tak biar keciciran berterusan
“Setiap tahun ramai pelajar seumpama ini tercicir melanjutkan pengajian peringkat pengajian tinggi dan sebagai kerajaan prihatin kepada rakyat, kita tidak akan membiarkan keadaan ini berlanjutan kerana ia menyebabkan masyarakat kawasan itu terus ketinggalan.
“Kita menggunakan pelbagai kaedah untuk mengesan mereka seperti laporan pemimpin masyarakat, senarai penerima bantuan kebajikan dan hebahan media,” katanya.
- BERITA HARIAN