Warga kastam dapat elaun setengah bulan gaji


 12,500 warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara bakal menerima durian runtuh selepas kerajaan bersetuju memberi elaun khas sebanyak setengah bulan gaji pada tahun 2013 ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika mengumumkan perkara itu berkata, pemberian insentif khas itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan tersebut selepas berjaya mengutip hasil sebanyak RM32.318 bilion pada tahun lalu.

Katanya, pungutan hasil tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM1.93 bilion atau 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Insentif setengah bulan gaji ini kerajaan berikan bagi menghargai kerja-kerja yang dilakukan Kastam pada tahun lalu.

“Kerajaan sekarang memberi insentif berasaskan prestasi dan kastam telah mencapai prestasi tertinggi dalam sejarah mereka. Tahun 2011 mereka berjaya capai lebih dari tahun sebelumnya tetapi kita tidak beri sebarang insentif, sebab itu tahun ini kita beri setengah bulan gaji," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-31 bertemakan Inovasi untuk Kemajuan Kastam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Menurut Ahmad Husni, pemberian insentif itu diputuskan kerajaan bersama pihak kastam pada minggu ini menerusi satu mesyuarat.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pemberian itu belum diputuskan dan kerajaan akan berbuat demikian secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan itu adalah berdasarkan inisiatif pembaharuan strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan prestasi kastam di samping Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, ini kerana kedua-dua agensi tersebut merupakan badan terbesar dalam konteks mengutip hasil kerajaan.

“Di bawah inisiatif ini, pelbagai pendekatan dilakukan termasuk inovasi yang diperkenalkan. Sebenarnya kastam sudah berjaya bukan sahaja dari segi mengutip hasil bahkan mengurangkan penyeludupan yang menjadi isu besar kepada negara terutama di Labuan yang sekarang sudah berjaya dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Khazali berkata, pihaknya menyasarkan pungutan hasil sebanyak RM34 bilion pada tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, beberapa strategi telah dirangka untuk mencapai sasaran tersebut antaranya memberi fokus kepada verifikasi harga barangan pengilangan tempatan dan melaksanakan operasi melesenkan pengilang-pengilang serta syarikat yang tertakluk pada cukai jualan dan perkhidmatan.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan pematuhan perundangan secara sukarela, pemberitahuan dan penguatkuasaan serta terakhir meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mencegah penyeludupan barangan dan perdagangan tidak sah," katanya.

Mengulas pemberian insentif setengah bulan gaji itu, Khazali berkata, pihaknya gembira serta berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dan berjanji untuk bekerja keras bagi mencatat pungutan yang lebih tinggi pada tahun berikutnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url