Parti politik perlu atur strategi pujuk pengundi baru

Oleh Jeniri Amir
Pensyarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Golongan pengundi muda dan pengundi baru akan menjadi antara faktor penentu calon dan parti yang bakal memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Tujuh negeri menyaksikan peningkatan ketara dari segi pengundi baru berdaftar. Selangor mengalami peningkatan ketara sebanyak 29.06 peratus dari 1,565,498 pada 2008 kepada 2,020,500 pada tahun lalu. Peningkatan di Johor sebanyak 267,757 orang; Perak (201,117); Sabah sebanyak 161,635; Sarawak 157,204; Kelantan 154,604; dan Kedah seramai 152,262 orang. Mereka adalah antara 2.4 juta pengundi muda dan pengundi baru, yang bakal menentukan keputusan PRU nanti.
Berbanding pada 2008 yang mempunyai sebanyak 10.9 pengundi berdaftar, kali ini sejumlah 13.3 juta telah didaftarkan dan layak mengundi. Jumlah pengundi telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada 1959, hanya terdapat 2.17 juta, 1964 sebanyak 2.76 juta dan 3.84 juta pada 1969. Jumlah itu terus meningkat kepada 4.48 juta pada 1974, kemudian mengukuh menjadi 5.06 juta pada 1978, 6.08 juta (1982), 6.96 juta (1986), 7.96 juta (1990), 9.1 juta (1995), 9.6 juta (1999) sebelum mencecah 10.28 juta pada 2004. Peningkatan yang ketara dari 2008 hingga tahun lalu mencerminkan kesedaran rakyat untuk membabitkan diri dalam pengundian. Mereka ini ikut serta dalam menentukan masa depan negara.

Dengan kesedaran politik yang semakin meningkat terutama selepas berlaku tsunami politik 2008, semakin ramai yang mahu mendaftar sebagai pengundi. Mereka bukan saja golongan muda dan baru mencecah usia 21 tahun, tetapi juga mereka yang bersikap endah tak endah selama ini. Selepas menyedari perubahan dalam PRU-12, mereka bagai tersedar daripada mimpi bahawa rupa-rupanya, satu undi begitu bermakna dalam menentukan nasib calon dan parti.

Tindakan pragmatik SPR

Selain itu, tindakan pragmatik yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan membenarkan parti politik mendaftar pengundi juga turut memainkan peranan dalam menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengundi.

Persoalannya, parti manakah yang paling berjaya mendaftar undi? Adakah parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang?
Perubahan sikap golongan ini merupakan berita baik untuk masa depan politik negara. Peningkatan kesedaran rakyat terutama dalam kalangan generasi muda mencerminkan keinginan mereka untuk ikut serta secara bermakna dalam menentukan mereka yang bakal memimpin negara ini. Golongan muda merupakan golongan yang terpelajar, kritis, malah bersikap sinis dan skeptis terhadap pihak berkuasa. Sebahagian daripada mereka cenderung mencabar dan meragui tindakan kerajaan. Mereka mempunyai keinginan untuk melihat negara dapat terus bergerak ke hadapan. Untuk memahami aspirasi dan kekecewaan mereka, baca saja media baru seperti Facebook.

Program dekati orang muda

Kerajaan BN sedar akan hakikat ini. Justeru, banyak transformasi dan program dilaksanakan untuk mendekati golongan ini. Kerisauan utama golongan muda adalah dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan. Mereka ingin memastikan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, seterusnya berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila sudah bekerja, mereka ingin membeli kereta dan rumah. Sebenarnya, semua kerisauan dan keinginan mereka itu cuba ditangani oleh kerajaan BN melalui pelbagai program.

Benarkah sebahagian besar golongan muda dikatakan tidak memihak kepada BN dalam PRU nanti? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku?
Bagi golongan muda dan pengundi baru, sebahagian pemimpin politik tidak lagi menjadi suri teladan. Mereka melihat sesetengah pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan anak. Mereka melihat pemimpin politik tidak bersih tetapi mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme. Sesetengah pemimpin politik dipersepsi sebagai rakus dan membolot kekayaan negeri.

Pemimpin negara sememangnya sedar pengaruh dan kesan kehadiran golongan ini. Justeru, golongan muda dan pengundi baru perlu memanfaatkan sebaik mungkin hak mengundi mereka dalam pilihan raya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa golongan muda adalah penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Jadi, parti politik bertanggungjawab untuk mendekati mereka secara bersungguh-sungguh melalui pelbagai mekanisme, strategi dan pendekatan sesuai. Selain menggunakan strategi dan pendekatan tradisional melalui kempen bersemuka dari rumah ke rumah serta melalui kegiatan sukan dan kebudayaan, media baru perlu digunakan dengan aktif.

Hal ini dibuktikan daripada bancian akhbar ini sehingga kelmarin apabila didapati hampir 40 peratus pembaca menyatakan bahawa media baru, iaitu blog, portal dan media sosial berupaya mempengaruhi pengundi berbanding media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio sebanyak 23.8 peratus.

Parti politik perlu menggunakan sayap pemuda mereka untuk memujuk golongan ini agar berbuat sesuatu sebelum terlewat. Jangan hairan, jika sayap pemuda parti bijak memujuk mereka, golongan ini akan akhirnya memihak kepada parti yang membantu mereka dalam pendaftaran.

- BERITA HARIAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url