Sukan lasak mempengaruhi haid

SOALAN:

Saya amat berminat berjogging dan juga berlari dalam acara sukan. Masalahnya, sejak berat badan saya berkurangan akibat aktiviti-aktiviti ini, saya mula mengalami masalah haid kerana hanya datang sekali setiap lima hingga enam bulan. Apakah aktiviti sukan yang menjadi penyebab masalah haid saya ini?

JAWAPAN:

Tepat sekali, aktiviti sukan yang lasak dan juga berat badan yang tidak ideal boleh menimbulkan masalah haid! Haid tidak akan berkitar secara normal. Haid yang dialami mungkin lima hingga enam bulan sekali. Masalah haid sebegini juga dikenali sebagai amenorea sekunder.

Amenorea sekunder didefinisikan sebagai tidak datang haid berturut-turut selama tiga hingga enam bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder berlaku kepada kurang daripada lima peratus dalam kalangan remaja perempuan dan lebih 50 peratus dalam kalangan orang yang aktif bersukan.

Terdapat pelbagai penyebab amenorea sekunder iaitu senaman yang melampau dalam kalangan ahli sukan atau berlebihan berat badan atau berkurangan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga, mengalami sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain seperti tiroid dan juga aras hormon prolaktin yang tinggi.

Berat badan tidak ideal

Seperti yang anda nyatakan bahawa saudari adalah seorang yang underweight kerana mempunyai berat badan yang berkurangan dan tidak ideal. Kemungkinan besar ini juga penyebab kepada masalah yang saudari hadapi. Elok berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan penyiasatan awal. Mengambil sejarah medikal yang penuh, seperti sejarah keluarga, pekerjaan, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas.

Bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian perlu dilakukan. Ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti aras pelbagai hormon. Ujian fungsi tiroid dan prolaktin juga patut diambil. Ini adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya.

Di samping itu, ada baiknya jika saudari mengamalkan pemakanan yang lengkap dengan mendapatkan bantuan pakar pemakanan bagi meningkatkan berat badan saudari ke tahap ideal. Moga dengan itu kitaran haid saudari akan berkitar secara normal.

- MINGGUAN MALAYSIA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url