Hantar borang e-Filing dilanjut ke 15 Mei 2013
Tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.
Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Masrun Maslim berkata ini bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan sistem elektronik itu yang lebih mudah dan cepat.
"Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada Selasa ini (30 April) dan kita galakkan mereka menghantar melalui pos di mana borang-borang itu akan diterima LHDN selewat-lewatnya 3 Mei," katanya kepada Bernama.
Ketika ditanya mengenai aduan orang ramai mengenai kesukaran menghantar borang penyata cukai secara manual, Masrun berkata setakat ini LHDN tidak menerima aduan sedemikian dan mengakui ia kes terpencil.
"Semakan kami di beberapa cawangan seperti di Cheras, Wangsa Maju dan Kota Baharu (Kelantan) masih menerima borang-borang itu.
Ada kotak khas disediakan bagi mereka yang ingin menghantarnya," katanya.
Laman Web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) : http://www.hasil.gov.my/
- HARIAN METRO