Penilaian amalan soleh
Allah SWT menciptakan manusia ke dunia ini dengan tujuan cukup besar iaitu untuk memperhambakan diri kepada-Nya dengan penuh rasa merendah diri.
Allah SWT berfirman: “Adakah kamu semua menyangka bahawa Kami menciptakan kamu semua secara sia-sia dan kamu semua sama sekali tidak akan kembali kepada Kami?” (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Tiga perkara tentukan amalan soleh
Untuk menjadi hamba Allah SWT yang beriman dan taat kepada setiap perintah-Nya kita perlu mempersiapkan jiwa raga dan amalan supaya diterima oleh Allah SWT. Sesuatu amalan yang dilakukan manusia itu akan diterima Allah SWT sebagai amalan soleh berlandaskan tiga perkara.
Pertama, individu yang melakukan amalan kebaikan di dunia ini akan menerima ganjaran pahala di sisi Allah SWT jika beliau seorang Muslim iaitu yang beragama Islam. Inilah perkara asas yang akan dinilai oleh Allah SWT.
Allah SWT telah berfirman mengenai perihal orang kafir di akhirat kelak: “Dan ketika mana Kami membicarakan akan amalan mereka maka Kami menjadikannya (tidak berguna) seperti debu-debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, ayat 23)
Imam Muslim dalam kitab sahihnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang kafir yang melakukan kebaikan maka akan diberikan makanan (rezeki) di dunia, manakala orang yang beriman Allah akan bawakan amalan kebaikannya itu ke hari akhirat dan memberikan ganjaran baik di dunia berdasarkan ketaatannya.”
Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini menerangkan seorang kafir yang melakukan kebaikan akan mendapat balasan ganjaran baik di dunia saja. Tetapi bagi orang yang beriman akan diberi balasan baik di dunia dan akhirat berdasarkan amalan kebaikan yang telah dikerjakan.
Amalan seiring niat ikhlas
Syarat yang kedua ialah amalan yang dilakukan manusia perlu disertakan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Dalam hal ini Allah SWT berfirman: “Dan tidaklah mereka itu disuruh melainkan supaya beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan.” (Surah al-Baiyyinah, ayat 5)
Ayat al-Quran ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT menyuruh setiap manusia yang menyembah-Nya memperhambakan diri kepada-Nya dengan penuh rasa keikhlasan. Ikhlas bermaksud melakukan setiap amalan untuk memperoleh reda Allah SWT.
Keikhlasan mempunyai ikatan rapat dengan konsep mentauhidkan Allah SWT. Antara sifat berlawanan bagi ikhlas ialah nifaq, menzahirkan Islam di hadapan masyarakat dengan melakukan aktiviti ritual sebagai seorang Muslim namun dalam hatinya dipenuhi rasa benci.
Riak, melakukan amal kebaikan atas niat untuk dilihat oleh manusia; sum’ah iaitu melakukan kebaikan dan mengharapkan pujian daripada mulut manusia dan ujub, melakukan amalan kebaikan dan pada masa sama memandang rendah kebaikan manusia lain seolah-olah dia yang terbaik.
Ibadah bersumberkan al-Quran, hadis
Syarat ketiga dalam penerimaan sesuatu amal ibadah ialah dengan mengikut syariat Islam seperti mana diperintahkan oleh Allah SWT. Perlu kita sedari sesuatu amal ibadah itu tidak boleh terkeluar daripada dua sumber utama iaitu al-Quran dan hadis.
Jika terkeluar daripada ruang lingkup yang diterangkan al-Quran dan hadis, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai ibadah. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu dua perkara, maka kamu semua tidak akan sesat selagi mana berpegang teguh dengan kedua-duanya; Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Nabi (hadis).” (Direkodkan oleh Imam Malik dalam Muwatta’)
Mengikut syariat juga bermaksud tidak mengurangkan atau menambah apa saja yang telah terkandung dalam syariat Islam. Maksud melakukan pengurangan terhadap syariat Islam ialah menolak apa saja perintah Allah dan Rasul-Nya.
Manakala melakukan penambahan terhadap syariat Islam pula ialah melakukan amalan baru yang dianggap sebagai ibadah namun sama sekali tidak diperintahkan oleh Allah SWT dan juga Rasul-Nya.
Berkaitan hal ini, Allah SWT berfirman: “Katakanlah (Muhammad): Mahukah aku khabarkan kepada kamu semua mengenai mereka yang rugi amalannya? Mereka ialah manusia yang sesat jalannya dalam kehidupan dunia dan mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan kebaikan (dalam amalan mereka).” (Surah al-Kahf, ayat 103)
Dalam meniti kehidupan sebagai hamba Allah SWT, maka kita tidak akan lekang dengan segala ujian dan dugaan. Sesungguhnya syaitan akan cuba mengambil kesempatan di atas kelekaan dan kejahilan seseorang hamba.
Oleh itu, kita perlu mempersiapkan dirinya dengan bekalan penting supaya tidak rebah di pertengahan jalan kehidupan. Setiap manusia perlulah mempersiapkan diri dengan iman yang kukuh dan jiwa mantap.
- BERITA HARIAN