SPR kesan pengundi melalui MyKad
Sehubungan itu, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, dalam satu kenyataan semalam, menafikan dakwaan dalam laman sosial bahawa ada pengundi bernama Ab Rapar Awang memiliki tiga nombor kad pengenalan (MyKad) yang berbeza dan layak mengundi tiga kali.
SPR sedar jika nama digunakan bagi mengenal pasti pengundi dalam Daftar Pemilih, ia akan menyebabkan kekeliruan kerana memang ada nama pengundi yang ejaannya sama tetapi mempunyai nombor kad pengenalan berbeza.
Banyak nama sama
Contohnya, ejaan nama Ismail Ibrahim terdapat 1,507 nama dalam Daftar Pemilih, Fatimah Abdullah (1,401 nama), Fatimah Ismail (1,377 nama), Fatimah Ahmad (1,377 nama), Ismail Ahmad (1,368 nama) dan 1,039 pengundi bernama Azizah Ahmad.
Berdasarkan semua nama ini, semakan SPR mendapati nombor kad pengenalan 12 angka mereka berbeza dan gambar pada kad pengenalan mereka juga berbeza. Ini menunjukkan mereka adalah individu yang berbeza, hanya ejaan nama saja yang sama, katanya.
Merujuk kepada kes Ab Rapar, Kamaruddin berkata semakan SPR mendapati hanya ada tiga nama yang mempunyai ejaan sama dalam Daftar Pemilih SPR tetapi ketiga-tiganya mempunyai nombor kad pengenalan, gambar dan cap jari yang berbeza.
Begitu juga dalam kes Jarmiah Abu Talib, pengundi adik-beradik yang mempunyai nama sama pernah dilaporkan media sebelum ini, yang dua adik-beradik yang tinggal di satu alamat itu menunjukkan perbezaan dalam tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, cap jari dan nombor kad pengenalan 12 angka.
Dakwaan tak benar
Kamaruddin berkata, jika ada pihak yang mendakwa nama sama itu merujuk kepada individu yang sama, maka dakwaan itu tidak benar kerana mustahil bagi seorang individu memiliki banyak kad pengenalan kerana nombor kad pengenalan atas nama itu adalah berbeza-beza.
Beliau turut menafikan ada individu tertentu boleh mengundi lebih daripada sekali. Justeru, SPR meminta mana-mana pihak yang menemui perkara mencurigakan dalam Daftar Pemilih menghubungi SPR di Pusat Panggilan 03-8885 6565 bagi membolehkan suruhanjaya itu membuat semakan dan memberi penjelasan.
Dakwat kekal digunakan
Dalam pada itu, SPR memaklumkan, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dakwat kekal akan digunakan dan setiap pengundi wajib dicalit pada jari telunjuk kirinya dengan dakwat itu. Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicalit, maka kertas undi tidak akan diberikan.
Kamaruddin berkata, tujuan penggunaan dakwat kekal itu adalah untuk mencegah cubaan mana-mana individu yang hendak mengundi lebih daripada sekali dan warna dakwat kekal yang digunakan bagi pengundian awal adalah berbeza warnanya dengan pengundian biasa.
SPR menegaskan pada PRU-13, tidak akan ada mana-mana individu boleh mengundi lebih daripada sekali kerana dakwat kekal akan digunakan manakala bagi pengundi yang sudah mengundi, nama mereka akan dipotong dalam buku Daftar Pemilih yang digunakan oleh Kerani SPR.
- BERITA HARIAN