Papa Gomo bersara

Blogger terkenal, Papa Gomo yang 'memeriahkan' alam maya dengan entri-entri kontroversi mengumumkan mahu bersara daripada dunia blogging.

Menulis dalam laman mikro Twitter menggunakan nama @PapaGomo, blogger berkenaan memaklumkan perjuangannya dalam dunia blogging sudah berakhir.

"I'm done (saya selesai). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini," tulisnya pada Isnin lalu.

Papa Gomo merupakan blogger yang tidak asing lagi dengan hasil tulisan dan pendedahan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai skandal.

Terbaru, blogger berkenaan berhadapan dengan kes saman oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan didengar awal tahun depan.

Saman fitnah RM100 juta itu difailkan Anwar 21 Mac lalu dengan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog berkenaan.

Ia ekoran penayangan video lucah yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang itu.

Wan Muhammad Azri bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog berkenaan.

Papa Gomo yang identitinya masih menjadi teka-teki dalam laman mikro Twitternya turut menulis, beliau yakin ramai lagi blogger berbakat dapat diketengahkan untuk memeriahkan PRU14 kelak.

Blog Papa Gomo juga kini tidak boleh diakses lagi.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

"Gomo yakin PRU14 akan ada ramai blogger pro BN yang hebat.

"Semoga perjuangan rakan rakan blogger lain akan terus hebat dan menguasai arus blogger yang ada pada PRU14. Pakatan mesti dihancurkan," tambahnya lagi dalam posting berlainan.

- SINAR HARIAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url