Wanita patut dihormati dan dilindungi
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pernah menjadi mangsa penindasan yang dilakukan melalui pendekatan sosial, undang-undang, ekonomi bahkan juga melalui budaya dan cara hidup yang menjadikan wanita sebagai golongan yang teraniaya.
Tamadun Barat membuktikan hakikat itu melalui sekatan yang dilakukan ke atas wanita daripada mengundi dalam pilihan raya, memiliki harta dan sebagainya.
Dalam dunia Islam pula, kita tidak pernah sunyi daripada kisah bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana percaya dengan momokan bahawa zuriat perempuan akan memalukan keluarga dan menyebabkan kepapaan.
Golongan wanita pula dipaksa bekerja tanpa belas kasihan, tidak boleh mempusakai harta dan boleh dicampuri dengan bebas, bahkan janda pula boleh diwarisi.
Islam angkat martabat wanita
Sejak kedatangan wahyu sehinggalah ke hari ini, Islam mengangkat martabat wanita setaraf dengan lelaki dalam urusan ibadat.
Dalam surah An-Nisaa’ ayat 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesiapa yang berbuat amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah seorang yang beriman, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga.’
Seperti lelaki, wanita juga boleh mewarisi harta. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 7 yang mafhumnya: ‘Untuk orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya dan bagi orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya’.
Bahkan Allah mengingatkan bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada setiap makhluk di muka bumi. Justeru, kepercayaan bahawa anak perempuan akan menyebabkan kepapaan adalah satu iktikad karut dan akan menghancurkan akidah umat Islam.
Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah (Allah) memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.’
Dengan peringatan ini, wanita Islam di Malaysia tidak lagi diletakkan sebagai ‘manusia yang berbeza’ daripada lelaki dalam peruntukan undang-undang, melainkan dalam beberapa keadaan yang mana wanita diberi kedudukan yang lebih istimewa daripada lelaki demi memberi keadilan kepada mereka kerana sejarah dan sistem pernah menindas golongan ini.
Beri kelebihan kepada wanita
Polisi kerajaan juga banyak memberi kelebihan kepada wanita berbanding lelaki, terutama dalam sektor ekonomi, perlindungan dari jenayah seksual, politik, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan juga dalam urusan perkahwinan dan kekeluargaan.
Masalahnya, undang-undang dan polisi masih belum cukup melindungi wanita sekiranya masyarakat seluruhnya tidak dapat menjadikan wanita sebagai golongan perlu dihormati dan dilindungi seperti yang diperintahkan Allah SWT.
Undang-undang hanya sempurna di dalam akta dan enakmen, manakala polisi pula hanya menjadi projek yang harus dilangsaikan seusai penggal tertentu sedangkan masyarakat masih tidak dapat membina struktur sosial yang memuliakan wanita.
Akibatnya, kanak-kanak perempuan dan wanita menjadi mangsa jenayah dan jenayah seksual dalam atmosfera awam dan juga dalam institusi keluarga.
Keganasan demi keganasan menjadikan wanita sebagai mangsa fizikal dan psikologi sehingga wujudnya keruntuhan sosial seperti sumbang mahram, rogol, zina, pembuangan anak, poligami tanpa keadilan, gangguan seksual di pejabat dan sebagainya.
Sesetengah wanita pula masih mengamalkan gaya hidup jahiliah dan bebas bersosial serta tidak meletakkan diri dalam pakaian muslimat yang sebenarnya sehingga tidak segan silu dijadikan ‘permainan’ dunia.
Banyak faktor zalimi wanita
Kerelaan wanita itu sendiri untuk dijadikan alat maksiat sering kali dijadikan alasan oleh mereka yang suka menyalahkan golongan ini sebagai ‘sengaja mencari pasal’, sedangkan banyak lagi faktor lain yang menyebabkan wanita dizalimi, tetapi tidak pula ketara dibahaskan.
Amaran dan hukuman yang sedia ada masih belum mampu mencegah penularan jenayah terhadap wanita. Paling penting menyedarkan setiap ahli masyarakat supaya melindungi wanita, walaupun mereka sengaja mendedahkan diri kepada jenayah seksual, dalam masa yang sama mendidik dan mentarbiyah golongan ini mengikut neraca Islam dan moral.
Inisiatif Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-87 menubuhkan kumpulan pakar berperanan memberi penjelasan secara ilmiah berkaitan isu semasa kepada masyarakat adalah tindakan yang tepat.
Ia sesuai dengan keperluan negara hari ini yang kekurangan pandangan pakar dalam menangani masalah membabitkan wanita Islam.
Keutamaan hari ini ialah memperbetulkan salah faham serta kekeliruan mengenai wanita Islam selain menasihati pembuat dasar atau pihak terbabit dengan isu semasa berkaitan wanita melalui kerangka dasar, sosial, undang-undang, media serta pembangunan insan.
- BERITA HARIAN