SOP Tahanan Lokap Baru Dilaksana Hujung Jun 2013
Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata polis juga mempertimbangkan untuk menempatkan pegawai perubatan di lokap dan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi (HD) yang akan dipantau sepanjang masa.
"Perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung menempatkan pegawai perubatan masih diteruskan.
"Sementara polis berusaha untuk melaksanakan pendekatan ini di peringkat persekutuan, ia adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan ketua polis daerah untuk melakukan persiapan di peringkat mereka," katanya.
Beliau berkata fokus dan keutamaan akan diberikan terhadap pusat tahanan dengan jumlah banduan tertinggi.
Mortadza menjelaskan SOP yang ditambahbaik itu juga akan menyaksikan kerjasama dengan pegawai kebajikan dalam memberikan penjagaan kepada kanak-kanak ketika ibu bapa mereka ditahan.
"Jika banduan mempunyai anak yang tidak dijaga dengan baik, kami akan meminta bantuan daripada jabatan kebajikan.
"Pegawai-pegawai jabatan itu akan melawat tahanan tersebut berdasarkan kes demi kes," katanya.
Beliau berkata, ia merupakan antara cadangan bagi memastikan kebajikan polis dan banduan susulan kontroversi kematian tahanan dalam lokap.
"Kami juga berharap untuk mendapatkan suntikan imunisasi kepada pegawai kami yang ditugaskan di dalam lokap dan melaksanakan kod kesihatan yang lebih ketat demi kebaikan banduan," katanya.
Mengulas mengenai CCTV HD, Mortadza berkata, walaupun terdapat keraguan terhadap pengawasan di dalam lokap, pemasangan kamera tersebut akan memastikan pemantauan yang lebih jelas dan berterusan di pusat tahanan.
"Ia merupakan salah satu cara untuk mengelakkan salah laku oleh anggota polis atau tahanan," katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pengasingan banduan mengikut jenayah yang dilakukan, Mortadza berkata, polis telah mempertimbangkan cadangan tersebut.
"Cadangan itu akan memerlukan lebih banyak pusat tahanan dan juga anggota polis. Kami perlu mengadakan mesyuarat dengan pelbagai agensi berkaitan sebelum ianya dilaksanakan," katanya.
Kematian terbaru dalam tahanan membabitkan ahli perniagaan Jepun, Nobuhiro Matsushita yang ditemui menggantung diri di sebatang besi di lokap itu kira-kira 4 pagi pada 15 Jun.
Matsushita, 33, ditahan kerana menceroboh masuk sebuah universiti dan mengacukan pisau kepada polis bantuan di sini pada 2 Jun.
Rekod Jabatan Imigresen menunjukkan lelaki tersebut sepatutnya meninggalkan negara pada 18 April selepas berada di sini berberapa bulan kononnya untuk memulakan perniagaan di Malaysia.
Kematian Matsushita dalam tahanan polis merupakan kes keempat sejak kebelakangan ini.
- mSTAR