Top Ad 728x90

,

FAM pinda Artikel 88 Statut FAM

FAM pinda Artikel 88 Statut FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 bagi membolehkan para pegawai selain daripada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media berhubung badan induk bola sepak negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, persetujuan itu dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Kini, semua pegawai atau ahli gabungan FAM dibenarkan ‘bersuara’ selepas Kongres FAM bersetuju terhadap skop-skop tertentu dalam akta tersebut diperluaskan lagi.

Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Afandi berkata, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

“Kongres telah bersetuju untuk meminda Artikel 88 yang mana Statut FAM tersebut diperluaskan sedikit.

“Kini, Artikel 88 membenarkan Presiden, Setiausaha Agung dan mana-mana pegawai FAM yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk membuat kenyataan akhbar tetapi tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, mereka harus menggunakan saluran tertentu jika ada perkara berbangkit untuk dikritik, namun perlu berbincang dengan FAM dan bukannya pihak media.

“Selain itu, mereka turut dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM akan membuat garis panduan mengenai kenyataan akhbar dan garis panduan Artikel 88 ini, dan ia akan diedarkan kepada semua ahli gabungan FAM menerusi konteks kenyataan akhbar.

“Langkah ini diambil supaya tidak timbul lagi segala permasalahan khususnya yang berkaitan dengan Artikel 88,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Hamidin Mohd. Amin dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Antara ‘mangsa-mangsa’ yang menerima hukuman di bawah Artikel 88 adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, (Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Skrip yang sama turut menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan yang digantung di bawah artikel tersebut ekoran mengkritik saingan liga tempatan pada 2009.

Dalam perkembangan sama, Afandi turut mengumumkan bahawa FAM telah meminda Artikel 68 bagi membolehkan mana-mana kes dibawa ke mahkamah.

Begitupun, FAM hanya membenarkan setiap kes yang mahu dibawa ke mahkamah perlu diadili badan induk persatuan itu sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Afandi menegaskan, pihak-pihak tertentu akan digantung seumur hidup atau paling minimum setahun sekiranya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak FAM.

“Begitu juga dengan Artikel 68 yang turut dikembangkan. Jika dahulu, Artikel 68 menetapkan tiada sebarang kes boleh dibawa ke mahkamah tetapi bergantung kepada kes tanpa menyatakan apakah kesannya.

“Pindaan tadi menetapkan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke mahkamah tanpa menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan, tindakan boleh diambil.

“Ertinya, mana-mana pertikaian berlaku dalam bola sepak, perlu diselesaikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Contohnya, jika berlaku pertikaian mengenai kontrak pemain dan pasukan, kes ini tidak boleh terus dibawa ke mahkamah.

“Pemain atau pasukan itu perlu menggunakan saluran yang ditetapkan seperti mengemukakan laporan kepada FAM. Kalau perkara itu berlaku tanpa merujuk FAM, pemain atau pasukan ini akan terdedah dengan tindakan susulan daripada FAM.

“Dalam proses tersebut, mana-mana pihak yang tidak mengikut saluran iaitu terus membawa perkara itu ke mahkamah, dia akan gantung seumur hidup atau setahun minimum.

“Mereka tidak mengikut kronologi dalam ruang membela diri kerana terus pergi ke mahkamah tetapi pihak-pihak itu masih boleh buat rayuan kepada kongres,” katanya.

- KOSMO!



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90