Rahsia dan kelebihan avokado
Saya begitu teruja melihat dia hanya makan begitu sahaja. Tidak perlu dicampurkan dengan bahan lain untuk menikmatinya. Sedap katanya: "Kena enjoy makan buah ni sebab harganya RM4.80 sebiji."
Terlopong saya sekejap. Begitu asyik dan berselera dia makan buah avokado itu sampai ulang makan dua kali. Terus timbul minat saya untuk merasanya dengan cara begitu dan ternyata sungguh enak.
Keenakan dan khasiat buah ini telah lama saya tahu dan banyak sekali makanan yang dibuat dengan buah ini.
Bukan setakat dibuat salad atau pencicah tetapi avokado juga turut dijadikan minuman.
Minuman jus avokado yang dikenali sebagai 'alpukat' menjadi kegilaan pada peminat jus. Jus ini sungguh mudah dibuat iaitu cuma dikisarkan buah ini bersama air sejuk dan air gula.
Anda juga boleh mencampurkan dengan susu cair atau yogurt dan ais. Akhir sekali siramkan dengan coklat masakan yang telah dicairkan.
Minuman ini memang berkhasiat dan yang penting ia mengenyangkan. Minuman ini sungguh popular di Indonesia dan setiap kali ada teman yang melancong ke sana pasti mereka akan cerita kesedapan jus ini pada saya.
Berpunca daripada kejadian melihat teman makan avokado saya terus mengkaji keistimewaan buah ini dan ternyata banyak sekali khasiat buah avokado.
Berdasarkan bacaan saya di Internet saya baru mendapat tahu bahawa buah ini juga dipanggil buah pear buaya kerana kulitnya menyerupai kulit buaya. Kelakar pula rasanya sehingga buah ini digelar begitu.
Tak mengapalah. Buah avokado ini sebenarnya berasal dari Mexico. Jika dahulu buah ini susah sangat untuk dijumpai di negara kita tetapi sekarang ia memang sungguh mudah dibeli di pasar raya.
Namun jika membeli buah avokado pastikan memilih buah yang telah masak. Buah masak lembik apabila dipicit. Barulah enak jika anda menggunakan buah yang telah masak untuk membuat juadah makanan ataupun jus.
Antara khasiat buah ini ia boleh mengekalkan jantung yang sihat kerana ia mengandungi vitamin B6 dan asid folik yang dapat membantu mengekalkan tahap homosistein.
Tahap homosistein yang tinggi boleh mengakibatkan risiko penyakit jantung. Mengandungi tinggi lemak mono tidak tepu yang baik juga untuk jantung. Avokado juga kaya dengan sebatian beta-sitosterol yang berkesan untuk menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.
Kandungan potasium yang tinggi dalam avokado dapat mengawal tekanan darah tinggi. Avokado boleh mencegah kanser contohnya asid oleik dalam buah ini dapat mencegah kanser payu dara.
Selain itu buah ini mengandungi tinggi antioksida yang dapat melambatkan penuaan. Kepada mereka yang obses menjaga kecantikan, buah ini sangat sesuai untuk menjadikan kulit anda halus mulus dan rambut lebat.
Amalkan makan selalu dan sapukan saja avokado yang dilenyek pada rambut. Biarkan selama sejam dan bilas. Buah ini mudah menjadi lebam, sebaiknya ia terus dimakan selepas dipotong atau perahkan dengan jus lemon untuk mengelakkannya menjadi lebam.
- UTUSAN