Kos sambungan internet Malaysia masih rendah - TM
Penembusan jalur lebar Malaysia sebanyak 67.2 peratus pada suku pertama tahun ini secara relatifnya adalah tinggi manakala kos sambungan internet masih rendah berbanding negara jiran.
Oleh itu, kaji selidik dalam talian yang meletakkan Malaysia di tangga ke-126 daripada 192 negara daripada segi purata kelajuan muat turun, adalah tidak tepat dan boleh dipertikai kerana ia mengetepikan faktor penting seperti kadar penembusan jalur lebar, pelan jalur lebar pengguna serta dinamik pasaran.
Kaji selidik oleh Ookla, ujian kelajuan jalur lebar berasaskan laman sesawang dan aplikasi diagnostik rangkaian itu turut meletakkan Malaysia di belakang Kemboja dan Vietnam dalam senarai berkenaan.
Telekom Malaysia Bhd, dalam satu kenyataan kepada BERNAMA berkata, walaupun Malaysia dilapor mempunyai purata kelajuan 5.4Mbps, penembusan dan liputan jalur lebarnya mengatasi kebanyakan negara jirannya.
Oleh itu, kelajuan purata mungkin lebih rendah jika kita mengambil kira capaian di seluruh negara dan jenis pakej kelajuan jalur lebar yang diambil, kata TM.
Contohnya, kelajuan purata di sebuah bandar yang mempunyai sambungan baik tetapi tiada akses di kawasan luar bandar mungkin memberi gambaran berbeza, berbanding gambaran di Malaysia yang mempunyai liputan di seluruh negara.
Sementara itu, mengenai dakwaan kos sambungan internet yang tinggi di Malaysia, TM berkata, ia tidak boleh dilihat sebagai perbandingan yang tepat kerana kos penempatan kemudahan asas rangkaian dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk geografi dan saiz negara.
Malaysia, dengan kawasan pedalaman yang jauh dan keadaan topografi di mana banjaran gunung meliputi sebahagian besar negara, menjadikan aspirasi mewujudkan negara yang disambung sepenuhnya, adalah tugas yang sangat mencabar.
Bagaimanapun, kaji selidik oleh BT Teleconsult membuktikan perbelanjaan modal TM adalah antara yang paling kos efektif di dunia berdasarkan ciri-ciri utama jalur lebar berkelajuan tinggi yang diguna dan tempoh pelancaran paling cepat dengan skop paling besar.
Indeks Kemampuan 2013 yang diterbitkan Perikatan Untuk Internet Mampu Milik pada Disember 2013 meletakkan Malaysia di tempat teratas keseluruhan dalam kalangan negara berstatus pendapatan dan pembangunan sederhana, berdasarkan penilaian merangkumi komposit kemudahan asas komunikasi, akses dan kemampuan.
TM berkata, usaha berterusan bagi meningkatkan kelajuan, liputan dan penembusan di Malaysia serta komitmen kerajaan adalah jelas dengan sokongan berterusan untuk melancar fasa kedua jalur lebar berkelajuan tinggi dan evolusi jangka panjang.
TM menyumbang lebih 40 peratus ke arah mencapai kadar penembusan jalur lebar negara.
Sumber : BERITA HARIAN