Top Ad 728x90

,

Tarif elektrik di Semenanjung kekal hingga Jun 2015

Tarif elektrik di Semenanjung kekal hingga Jun 2015

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik di Semenanjung sehingga Jun tahun 2015.

Untuk tujuan itu, kerajaan menampung kos RM1.683 billion bagi bahan api dan penjanaan menggunakan hasil penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), Penjana Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama dan mengekalkan harga gas berpaip yang dibekalkan oleh PETRONAS kepada Sektor Elektrik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata tarif elektrik di Semenanjung ditetapkan melalui sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) iaitu satu komponennya adalah mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) yang dilaksanakan sejak Januari lalu.

Mekanisme itu, katanya, membolehkan kerajaan menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan.

"Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair (LNG), arang batu, minyak jenis 'medium fuel oil' (MFO) dan kos penjanaan lain berkaitan PPA, kos pembekalan daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan pembelian tenaga elektrik dari negara luar.

"Sistem sama diamalkan di kebanyakan negara maju dan membangun seperti Australia dan United Kingdom selain negara anggota ASEAN termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.

"Mekanisme ini membenarkan kadar tarif yang mencerminkan kos pembekalan elektrik yang lebih telus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ongkili berkata, jumlah kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2014 ialah RM465.93 juta, manakala Julai hingga Disember 2014 sebanyak RM382.03 juta.

"Jumlah keseluruhan adalah RM847.96 juta, bersamaan kenaikan kadar tarif elektrik 1.62 sen/kWj, akan ditampung melalui penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama," katanya.

Beliau berkata, selepas mengambil kira kos ICPT bagi mengekalkan kadar tarif, baki penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama adalah RM170 juta dan tidak mencukupi menampung kos ICPT akan datang.

Katanya, susulan penangguhan kenaikan harga gas berpaip, PETRONAS akan menanggung pendapatan terdahulu bagi tempoh Julai 2014 hingga Jun 2015 sebanyak RM836 juta.

"Sebagai kerajaan bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan rakyat, keputusan dibuat adalah untuk mengurangkan impak rasionalisasi subsidi dan ketidaktentuan harga di peringkat global. Namun, ini tidak dapat menjamin kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Oleh yang demikian, kementerian menggesa rakyat memainkan peranan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengurangkan pembaziran.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga, memadamkan peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menetapkan suhu termostat alat penghawa dingin pada 24 darjah Celsius," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu pihak utiliti sentiasa berusaha menyediakan bekalan elektrik yang efisien, mencukupi, berdaya harap dan kos efektif demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90