Kisah Aylan mangsa krisis Syria


Berumur dua tahun, Aylan Kurdi dilahirkan di sebuah negara yang darah menjadi makanan ekoran kerakusan manusia akibat peperangan. Satu demi satu insan tidak berdosa gugur di medan perang dan tanah yang gersang basah dibanjiri darah hingga bertakung ibarat lopak air.

Lantaran itulah mereka menjadi pelarian, cuba mencari sebuah kehidupan yang lebih baik. Ibu bapa Aylan, Abdullah dan Rehen hanya mahukan anaknya itu hidup dalam keadaan harmoni bersama abangnya, Galip, 4, di Kobani, Syria.

Namun, saat tragis merobek kehidupan Abdullah dan keluarganya selepas Reheh, Galip dan Aylan maut akibat lemas di sebuah pantai di Turki. Lebih menyayat hati apabila mayat Aylan ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi pantai. Foto Aylan yang mati dalam keadaan sebegitu ternyata mengejutkan dunia.

“Mereka sudah tiada. Saya sangat sedih kerana hidup Galip dan Aylan begitu singkat.

“Saya berdoa semoga mereka semua berbahagia di sana. Saya begitu mengasihi dan menyayangi seluruh ahli keluarga. Kehidupan mereka sudah menjadi lebih baik,” kata Abdullah yang terkesan dengan kehilangan seluruh anggota keluarganya.

Ternyata, detik hitam itu menghantui hidup Abdullah saat melihat satu demi satu ahli keluarganya hilang semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada krisis peperangan di negara sendiri.

Kini, Abdullah hanya mampu meneruskan kehidupan sebatang kara di tengah-tengah Turki.

“Saya tidak mahu apa-apa lagi di dunia ini kerana kehidupan kosong tetapi saya perlu teruskannya.

“Saya hanya mengimpikan kehidupan berkeluarga sempurna tetapi semua impian itu sudah hilang.

“Saya mahu duduk bersebelahan kubur mereka sehinggalah ajal itu datang kepada saya,” ujar Abdullah sayu.

Bukan Abdullah sahaja yang menghitung dilemanya setelah kehilangan keluarga tersayang, namun semua pelarian Syria yang kini berteduh di kebanyakan negara turut ditimpa kebimbangan setelah kekurangan bahan keperluan untuk berlindung apabila dilanda musim sejuk.

Ribuan khemah yang dipasang di kawasan Lembah Bekka Lebanon dilitupi salji manakala lantai pula sudah menjadi lumpur. Keadaan ini membuatkan semua pelarian bimbang jika ada antara mereka yang maut dalam kesejukan.

“Musim sejuk sudah tiba dan kami bimbang kerana ramai yang mati dalam kesejukan.

“Saya memohon kepada Allah untuk melindungi kami,” kata Ibrahim Sayid, 27. Nampaknya, nasib malang terus membelenggu ribuan pelarian Syria apabila pihak berkuasa enggan mengiktiraf kem mereka malah tidak mahu memberi lokasi penempatan rasmi yang sesuai. Kesemua pelarian dalam keadaan tertekan untuk berlindung dan bertungkus-lumus meminta bantuan namun masih tiada lagi pihak berkuasa yang sudi mendengar suara hati mereka.

“Kami ditindas di negara sendiri dan tempat orang. Kami memerlukan bantuan namun tiada pihak yang sudi membantu malah membiarkan kami bergelimpangan di kawasan perkhemahan.

“Sekurang-kurangnya kasihanlah kepada kanak-kanak kerana mereka benar-benar memerlukan perlindungan yang sewajarnya supaya dapat meneruskan hidup,” ujar Ibrahim.

Biarpun timbunan salji dilihat memberi keceriaan kepada kanak-kanak yang leka bermain bola salji, namun pada usia yang masih mentah masa depan mereka langsung tidak diendahkan.

Ribut yang melanda beberapa negara seperti Lebanon dan Turki baru-baru ini memberi kebimbangan kepada semua pelarian kerana barang keperluan semakin berkurangan. Sejak konflik Syria melanda negara itu pada Mac 2011,lebih dua juta rakyat Syria nekad meninggalkan zon bergolak untuk menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa kekejaman manusia.

Daripada angka itu, separuhnya adalah kanak-kanak. Rata-rata mencari perlindungan di negara jiran seperti Lebanon, Turki, Jordan dan Iraq.

Namun, ketibaan musim sejuk dan kegagalan mendapatkan fasiliti menambahkan lagi derita mangsa pelarian apabila khemah tempat berlindung tidak membantu menambah suhu panas.

Paling menyedihkan, hanya sehelai plastik dijadikan alas untuk tidur, adakalanya mereka terpaksa berbumbungkan langit kerana ada khemah yang rosak dipukul ribut.

Ibrahim memberitahu, dia tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membeli makanan atau mencari tempat perlindungan lain untuk keluarganya. Bagi memastikan khemah dalam keadaan stabil, lelaki itu meletakkan batu-bata, tayar buruk dan beg bagi mengelakkan rumah kanvas mereka terbang dibawa angin kuat.

Di kem berasingan di kawasan Bekka, kira-kira 200 pelarian berlindung di bangunan usang dan kaki-kaki gunung malah ada juga yang tidur di pondok terbiar.

Mereka ditempatkan di dalam struktur berdinding kayu sekerap dan tiang, berbumbungkan kepingan plastik yang diikat dengan tali dan tayar secara perlahan-lahan boleh menyebabkan mereka mati dalam keadaan beku.

Menurut Ahmad Hasan, 25, dia dan adiknya terpaksa mencari kayu api untuk menghangatkan badan dan memakai baju lebih daripada tiga lapis. Kami akan membakar kayu api dan duduk bersebelahan untuk memanaskan badan.

Cuaca sangat sejuk dan ramai yang tidak mampu menanggung kesejukan sehingga kadangkala tubuh badan menjadi kaku kerana beku. Menurutnya, tiada lagi tempat berlindung kerana taraf mereka sebagai pelarian yang menumpang di tempat orang.

Paling menyedihkan, ada juga yang enggan memberi bantuan terutamanya dalam mendapatkan keperluan asas kerana kawasan berdekatan juga dihuni penduduk yang bukan orang kaya.

Dalam pada itu, Turki, negara jiran yang bermurah hati memberi penempatan khas kepada mangsa pelarian berdepan cabaran apabila banyak negara Eropah mendesak untuk membatalkan taraf mereka sebagai pelarian.

Ini berikutan kerajaan Turki memberi peluang kepada pelarian mendapatkan pekerjaan dan memberi kerakyatan. Situasi ini boleh mengundang risiko ketegangan negara Eropah.

Yayasan Politik, Ekonomi dan Penyelidikan Sosial (SETA) meminta Turki menukar dasar supaya tidak ramai pelarian berhijrah ke negara tersebut.

“Pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat kerana tidak mahu mereka menggugat kestabilan politik mahupun ekonomi.

“Kedatangan mereka dianggap mengancam keamanan dan jika dibiarkan mungkin boleh mencetuskan konflik kemanusiaan lebih teruk,” ujar SETA dalam satu laporan kepada kerajaan Turki.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url