Tawaran Menarik Syarikat Penerbangan Disebalik Kelemahan Ringgit
Syarikat penerbangan dan pelancongan terus mempromosikan pelbagai tawaran menarik termasuk tambang murah dan destinasi baru kepada para pelanggan di sebalik kelemahan dan kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa, demikian lapor StarBiz, sisipan bisnes akhbar The Star.
Ringgit adalah matawang yang paling teruk dilanda krisis tahun ini berbanding negara-negara lain jatuh sehingga 18% yang bersamaan dengan kedudukan paling rendah dalam tempoh 17 tahun iaitu sekitar RM4.29 berbanding dengan AS$1 pada 26 Ogos lalu.
Kini ramai dikatakan telah memilih untuk menghabiskan cuti tahunan mereka di dalam negara berbanding luar negara.
"Orang ramai lebih berhati-hati dan berkira dalam keadaan situasi sekarang tetapi pada masa yang sama mereka masih ingin melancong atau bercuti lebih-lebih menjelang musim cuti nanti," kata seorang eksekutif syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika dihubungi berkata pihaknya tidak nampak, kejatuhan nilai ringgit akan menjejaskan industri pelancongan.
Sebaliknya, kata beliau, orang ramai akan lebih memilih untuk mengambil pakej perjalanan yang lebih pendek.
Sewaktu berlangsungnya Ekspo Matta, Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) menawarkan diskaun sehingga 50% untuk beberapa destinasi tertentu, Malindo pula menawarkan tambang serendah RM15 manakala AirAsia pula menawarkan kerusi percuma bermula Isnin.
Malah syarikat-syarikat penerbangan dari Asia Tengah, seperti Emirates, Etihad dan Qatar Airways turut menurunkan harga untuk kekal kompetatif di pasaran yang sengit.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Chandran Rama Muthy berkata, respon pelanggan ke atas laluan baru ke Amritsar sangat menggalakkan.
Sementara Tony Fernandes pula berkata, jualan ke laluan baru mereka, Goa mencatatkan jualan rekod pada Khamis.
"Untuk tempoh tiga bulan akan datang, perjalanan ke destinasi itu telahpun 60% habis dijual," kata Tony Fernandes lagi.
Kembalinya ANA ke KLIA menunjukkan yang trafik keluar dari Malaysia telah kembali meningkat dan sasaran mereka ialah laluan KL-Tokyo-Amerika. Ini diakui oleh Naib Presiden Kanan Jualan ANA, Jun Katagiri.