Bayi Dikeluarkan Dari Perut Ibu Meninggal



Doktor di Singapura mengeluarkan seorang bayi pramatang dari perut ibunya warga Malaysia yang juga mangsa kemalangan maut di Jurong West pada Sabtu.

Wanita yang dikenal pasti sebagai Goh Chieh Ting, 25, sedang mengandung enam bulan semasa dilanggar sebuah lori ketika sedang melintas jalan, lapor Shin Min Daily News.

Mangsa bagaimanapun tidak bertindak balas semasa menerima rawatan di hospital dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Namun, doktor melakukan pembedahan kecemasan dan berjaya menyelamatkan anak perempuan mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil.

Kemalangan maut itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi di Jurong West Avenue 1 menghala ke Jalan Kerjasama dekat Blok 456.

Saksi memberitahu akhbar tersebut bahawa Chieh Ting sedang memegang tangan seorang wanita ketika melintas jalan itu.

Difahamkan seorang lagi wanita yang selamat adalah ibu mertuanya.

Tanpa diduga, sebuah lori keluar dari tempat letak kereta dan berpusing ke kanan dan gagal menghentikan kenderaannya lalu melanggar Chieh Ting.

Mangsa berasal dari Johor dan memegang permit lawatan jangka masa panjang dan tinggal di lokasi kemalangan bersama keluarga mertuanya.

Ketika kemalangan, Chieh Ting dan ibu mertuanya baharu sahaja menikmati sarapan pagi dan mahu melintas jalan untuk pergi ke pasar berdekatan.

Selepas kejadian, Chieh Ting yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Umum Ng Teng Fong.

Namun dia disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu kerana mengalami pendarahan di kepala.
Ketika dihubungi, polis berkata pemandu lori berusia 46 tahun itu sudah ditahan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

– The Straits Times/Asia News Network

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url