Kos sara hidup punca jenayah meningkat


Desakan hidup dan faktor kewangan dikatakan antara punca penglibatan segelintir rakyat Malaysia dalam gejala jenayah seperti keldai dadah, meragut dan merompak.

Memang tidak dinafikan ada penjenayah tersebut melakukannya atas desakan hidup seperti kelaparan, ketiadaan wang atau masalah hutang.

Namun, terdapat juga segelintir individu yang melakukan perbuatan itu untuk mengaut keuntungan dengan cara yang mudah dan cepat.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, kajian empirikal menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif dan negatif antara jurang pendapatan serta kadar jenayah.

“Sebab itulah isu berkaitan kos sara hidup dan jurang pendapatan hari ini perlu diberi perhatian berikutan hubung kaitnya dengan kadar jenayah.

“Kebanyakan yang melakukan jenayah bawahan adalah disebabkan mahu meneruskan hidup secara selesa dan tindakan yang diambil dianggap jalan cepat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo! pada 14 Februari lalu melaporkan, desakan hidup dan faktor kewangan antara faktor yang menyebabkan penglibatan segelintir rakyat Malaysia sebagai keldai dadah menunjukkan peningkatan pada tahun lalu.

Ia didedahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali yang menyatakan trend tersebut semakin membimbangkan.

Berdasarkan rekod, seramai 425 orang rakyat Malaysia ditahan di 19 buah negara atas kesalahan menjadi keldai dadah sejak 2013 hingga Oktober tahun lalu.

Inflasi

Sebelum itu, Kosmo! pada 17 Januari lalu turut melaporkan, dua kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia adalah antara lapan individu yang ditahan di Australia atas dakwaan menyeludup dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai AS$20 juta (RM59 juta).

Dalam pada itu, Afzanizam menambah, faktor inflasi juga memainkan peranan penting dalam peningkatan dan pengurangan kadar jenayah.

“Oleh itu, langkah pencegahan sememangnya langkah yang perlu sentiasa diperkasa dan diberi perhatian.

“Antaranya adalah pendidikan kewangan supaya setiap individu mampu untuk mentadbir kewangan peribadi mereka dengan baik.

Ujarnya lagi, ia termasuklah menggalakkan individu untuk membuat tabungan serta melabur dalam instrumen pelaburan yang sesuai dengan tahap toleransi risiko mereka.

Menurut Afazanizam, simpanan bagi setiap individu adalah amat penting berikutan faktor inflasi yang sentiasa akan menghakis simpanan yang tidak dilaburkan.

Sementara itu, Pakar sosiologi, Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berkata, kekurangan didikan agama juga mendorong seseorang itu melakukan jenayah akibat desakan kewangan.

“Jika kawalan agama dalam diri lemah, ia akan mempengaruhi seseorang melakukan kegiatan jenayah, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai peluang.

“Sebenarnya nilai moral dalam diri merupakan penentu untuk melakukan jenayah. Pengetahuan sahaja tidak mencukupi tapi ia mesti selaras dengan keimanan,” tuturnya.

= KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url