Majalah dan buku DBP berevolusi ke dunia digital





Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal berevolusi apabila kesemua majalah dan buku terbitannya akan dipasarkan secara digital mulai Julai 2019 ini.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, senario semasa yang sedang menyaksikan kemajuan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang melibatkan gabungan teknologi digital dan pengkomputeran dapat dimanfaatkan oleh para penerbit selari dengan trend industri terkini.

“Transformasi ini adalah untuk mewujudkan penerbitan digital majalah dan buku terbitan DBP di samping mengekalkan penerbitan bercetak dalam kuantiti yang terhad merujuk pada beberapa majalah tertentu,” jelas beliau ketika ditemui di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur sempena dengan Sidang Eksekutif ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Jelas Sallehuddin lagi, industri penerbitan majalah dan buku pada ketika ini amat terkesan dengan senario ekonomi semasa apabila kos sara hidup meningkat sehingga menyebabkan kuasa beli pengguna semakin mengecil.

Menerusi transformasi penerbitan 11 majalah dan buku digital itu kelak, masyarakat boleh membeli kesemua majalah dan buku digital pada harga yang lebih murah.

"Capaian majalah dan buku juga lebih mudah dan pantas tanpa batasan masa dan tempat,” tambah beliau.

Difahamkan, majlis pelancaran rasmi pelaksanaan ini akan berlangsung Jun ini.

Sementara itu, di antara pelaksanaan kerja yang bakal berlaku termasuk pembinaan aplikasi dan laman web DBP yang baharu, bagi menyokong pembelian dan langganan.

Pembaca akan mempunyai pilihan membeli atau melanggan sama ada kandungan majalah yang dimuatkan dalam laman web, atau pun yang dimuat naik dalam aplikasi yang boleh didapati melalui platform AppleStore atau GooglePlaystore.

Sallehuddin turut berkata, pada masa yang sama DBP akan menggunakan semua saluran media sosial dan medium yang lain untuk mempromosikan majalah dan buku digital, antaranya termasuklah menggunakan pengaruh media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube, serta media tradisional.

“Penerbitan majalah digital juga diyakini dapat membantu penyebaran bahasa Melayu dengan lebih meluas,” tegas Sallehuddin.

Peralihan dari media cetak ke dunia digital ini adalah seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan bahan digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kewujudan lebih banyak buku digital terutamanya dalam bahasa kebangsaan juga dapat memberikan pelbagai pilihan sumber kepada guru dan pelajar dalam menyokong hasrat ini.

- UTUSAN



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url