Soalan lazim mengenai Program Subsidi Upah SIP PERKESO
1. Apakah Program Subsidi Upah (PSU)?
• Program Subsidi Upah (PSU) adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.
• Di bawah Pakej PRIHATIN pada 27 Mac 2020, subsidi upah bagi PSU kepada majikan adalah untuk tempoh 3 bulan.
• Pada 5 Jun 2020, bantuan PSU telah dilanjutkan untuk 3 bulan tambahan di bawah PENJANA (6 bulan secara keseluruhan).
• Tujuan PSU ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.
2. Bilakah PSU mula berkuatkuasa?
• PSU mula berkuatkuasa pada 1 April 2020.
• Tempoh PSU adalah selama 6 bulan bermula 1 April 2020 atau mengikut bulan permohonan dikemukakan.
3. Bilakah PSU akan berakhir?
• Tarikh akhir permohonan PSU adalah pada 30 September 2020.
4. Apakah perluasan PSU yang diumumkan pada 5 Jun 2020?
• PSU yang diumumkan pada 5 Jun 2020 adalah seperti di Jadual 1 berikut:
5. Bolehkah pekerja yang diarahkan mengambil cuti tanpa gaji (CTG) memohon PSU, yang mana sebelum ini diliputi di bawah program Employment Retention Program (ERP)?
• Mulai 15 Jun 2020, program ERP akan digabungkan di bawah PSU.
• Perluasan PSU ini meliputi pekerja yang telah diarahkan mengambil CTG dengan syarat bekerja di sektor pelancongan atau sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang masih dilarang (prohibited) sepanjang tempoh PKPP. Majikan tersebut boleh memohon PSU dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung.
• Majikan di bawah sektor pelancongan perlu mengesahkan aktiviti industri (berdasarkan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan) semasa mengemukakan permohonan PSU.
Nota: Contoh industri pelancongan adalah seperti hotel, penerbangan, taman tema, agen pelancongan, sewa kereta, pemandu coach, pengangkutan air, cruise, eco-tourism farm dan lain-lain.
6. Siapakah yang tidak layak memohon PSU?
• Majikan atau perusahaan yang mendaftar dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2020
• Majikan dan pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 April 2020
• Pekerja yang bergaji bulanan melebihi RM4,000
• Pekerja yang telah diberhentikan kerja
• Pekerja sektor awam, badan berkanun persekutuan dan negeri, semua badan berkanun yang diasingkan saraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers
• Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate)
• Majikan yang menarik diri dari permohonan PSU selepas mengemukakan permohonan selepas atau pada 15 Jun 2020.
7. Adakah majikan yang telah menarik diri dari PSU sebelum 15 Jun 2020 layak mengaktifkan permohonan PSU asal?
• Majikan yang telah menarik diri dari PSU sebelum 15 Jun 2020 layak untuk membuat pengaktifan permohonan sebelum ini semula melalui e-mel aduansip@perkeso.gov.my
8. Bagi permohonan PSU, apakah dokumen yang diperlukan?
• Dokumen yang diperlukan untuk permohonan PSU ialah:
i. Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan)
ii. Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank sahaja)
iii. Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank seperti di 5 (ii) di atas. Sila rujuk pihak bank dan memastikan No BRN dan No Akaun adalah tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan
iv. Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan
v. Akuan Pengisytiharan PSU50
vi. Bagi perusahaan bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendaklah kemukakan dokumen sokongan seperti penyata kewangan atau laporan jualan yang telah disahkan oleh pihak pengurusan atau lain-lain dokumen berkaitan
9. Apakah yang dimaksudkan dengan maklumat Business Registration Number (BRN) yang perlu diperolehi daripada pihak bank?
• Maklumat Business Registration Number (BRN) adalah maklumat nombor pendaftaran perniagaan majikan yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun semasa syarikat di bank.
• Majikan hendaklah berhubung dengan pihak bank masing-masing bagi memastikan BRN yang diberikan adalah yang betul dan tepat.
• Majikan perlu mengisi Borang BRN yang perlu dimuat turun dari portal PRIHATIN melalui capaian laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my dan memuat naik kembali ke laman sesawang tersebut setelah ianya dilengkapkan.
• Maklumat Akaun Bank dan BRN syarikat seperti di atas diperlukan bagi tujuan pembayaran terus ke akaun majikan secara Electronic Fund Transfer (EFT).
• Kegagalan majikan dalam memberikan BRN yang betul akan melambatkan proses pembayaran subsidi upah.
10. Apakah Akuan Pengisytiharan PSU50?
• Akuan Pengisytiharan PSU50 ialah suatu dokumen pengesahan dan aku janji secara bertulis bahawa majikan mengesah atau mengisytiharkan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya adalah benar dan betul bagi tujuan permohonan PSU. Borang ini perlu diisi oleh semua majikan tanpa mengira saiz perusahaan.
11. Kenapakah pekerja yang bergaji RM4,000 ke atas tidak diliputi di bawah PSU walaupun membuat caruman bulanan PERKESO?
• PSU adalah peruntukan daripada Kerajaan yang disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) untuk membantu majikan yang terkesan akibat krisis COVID-19 untuk meneruskan pengoperasian dan mengekalkan pekerja mereka. Program ini juga adalah untuk lebih membantu pekerja dalam golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
12. Apakah tafsiran gaji atau pendapatan RM4,000 ke bawah yang dimaksudkan bagi permohonan PSU ini?
• Tafsiran gaji atau pendapatan adalah mengikut tafsiran gaji di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4]. Semua pembayaran berbentuk wang kepada pekerja dianggap sebagai gaji seperti gaji pokok / kerja lebih masa / komisen / bayaran-bayaran sewaktu cuti tahunan, sakit, bersalin, rehat, kelepasan am dan sebagainya / elaun-elaun insentif, kelakuan baik, sara hidup dan sebagainya / caj perkhidmatan (service charge).
13. Bagi permohonan PSU bulan berikutnya, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baharu bagi tuntutan yang seterusnya?
• Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan PSU yang baru bagi tuntutan bulan-bulan berikutnya. Bagaimanapun, majikan dikehendaki mengemaskini perubahan maklumat setelah mendapat bayaran tuntutan bulan-bulan berikutnya, sekiranya berlaku apa-apa perubahan kepada status keaktifan perniagaan atau bilangan pekerja yang layak melalui sistem. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
• Sekiranya berlaku perubahan (pengurangan atau penambahan) pada senarai nama pekerja, majikan hendaklah mengemukakan perubahan tersebut selewat–lewatnya pada 15 hari bulan pada bulan berkenaan.
• Permohonan yang mengandungi maklumat yang tidak tepat seperti bilangan pekerja tempatan tidak sama dengan maklumat majikan di PERKESO (Portal ASSIST) atau permohonan yang mengandungi senarai pekerja asing, permohonan tersebut akan dikuiri untuk tindakan selanjutnya. Sehubungan dengan itu, majikan hendaklah mengisi maklumat pekerja tempatan dengan tepat bagi mengelakkan kelewatan pemprosesan permohonan tersebut.
14. Bolehkah majikan yang telah beroperasi sebelum 1 Januari 2020 tetapi tidak berdaftar dengan PERKESO memohon PSU?
• Tidak. Mana-mana majikan yang ingin mengemukakan permohonan PSU hendaklah berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020, berdaftar dengan SSM, PBT atau lain-lain badan professional sebelum 1 Januari 2020 dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja.
15. Sekiranya majikan telah berdaftar dengan Perkeso sebelum 1 April 2020 dan mempunyai pekerja yang telah mula bekerja pada 1 Februari 2020 tetapi belum berdaftar dengan PERKESO. Adakah majikan layak untuk memohon PSU?
• Ya, majikan layak untuk mengemukakan permohonan PSU. Pekerja hendaklah seseorang yang telah mula bermula bekerja di bawah majikan tersebut sebelum 1 April 2020 dan majikan hendaklah mendaftarkan pekerja tersebut dengan PERKESO (Portal ASSIST) terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan bagi bulan berkenaan.
16. Bagaimanakah perusahaan yang bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendak membuktikan kadar penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih?
• Majikan boleh membuktikan penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih dengan dokumen sokongan seperti akaun penyata, penyata kewangan, rekod jualan, dan sebagainya yang menunjukkan penurunan hasil jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Januari 2020 atau berbanding bulan-bulan berikutnya.
17. Sekiranya majikan mengemukakan permohonan PSU pada bulan Jun, adakah subsidi upah akan dibayar dari bulan April (backdated) atau bermula pada bulan Jun?
• Subsidi upah akan dibayar mulai dari bulan permohonan yang dikemukakan dan tiada pembayaran bulanan ke belakang (backdated). Permohonan yang diterima sebelum 30 September akan menerima subsidi upah selama 6 bulan pada kadar yang telah dijelaskan di soalan 4.
18. Sekiranya terdapat pekerja yang berhenti secara sukarela dengan majikan dan menerima PSU sebelum ini, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baharu?
• Tidak. Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan yang baharu dan hanya perlu mengemaskini maklumat pekerja mengikut kelayakan dengan mengemukakan senarai baru pekerja melalui sistem Portal PRIHATIN pada bulan berikutnya. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
19. Apakah yang boleh dilakukan oleh pekerja sekiranya majikan yang menyertai PSU tidak membayar gaji pekerja, memotong gaji, mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji ataupun memberhentikan perkhidmatan pekerja?
• Pekerja boleh menyemak senarai nama majikan yang telah diluluskan permohonan PSU di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/
• Sebarang masalah perburuhan di luar PSU, pekerja juga boleh merujuk kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di talian 03-8890 3404 atau 03-88862409 atau eemel di jtksm@mohr.gov.my
20. Syarikat saya mempunyai pekerja warganegara Malaysia dan juga pekerja bukan warganegara yang berdaftar dengan PERKESO. Bolehkah jumlah pekerja asing tidak dimasukkan dalam kiraan penentuan saiz jumlah pekerja?
• Tidak boleh. Majikan perlu mengisytihar jumlah keseluruhan bilangan pekerja yang digaji termasuk pekerja bukan warganegara.
21. Adakah majikan atau pemilik syarikat termasuk dalam pengiraan penentuan saiz perusahaan bagi permohonan PSU?
• Tidak termasuk.
22. Bagaimanakah majikan akan dapat mengetahui sama ada permohonan PSU telah diterima, diluluskan atau ditolak?
• Majikan akan menerima No. Rujukan sebaik sahaja permohonan lengkap telah diisi di Portal PRIHATIN prihatin.perkeso.gov.my dan boleh menyemak status permohonan menggunakan No. Rujukan yang diberikan.
• Senarai nama majikan yang diluluskan permohonan PSU juga akan dipaparkan di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/ termasuk bilangan pekerja yang diluluskan.
TARIKH KUATKUASA
Soalan Lazim Bil. 5 Tahun 2020 adalah berkuatkuasa mulai 9 Jun 2020. Dengan berkuatkuasanya Soalan Lazim Bil. 5 Tahun 2020, maka Soalan Lazim Bil. 4 Tahun 2020 adalah dibatalkan.
Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan PERKESO di talian 03-4264 5555 / 1-300-22-8000 atau emel kepada perkeso@perkeso.gov.my