Top Ad 728x90

7 cadangan tingkat ekonomi negara



Berikut adalah 7 cadangan tingkatkan ekonomi negara oleh Setiausaha Agung UMNO, DATUK SERI AHMAD MASLAN.

Pertama, tutup segala ketirisan pendapatan melalui khidmat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang lebih cekap. Misalnya baru-baru ini, JKDM berjaya membanteras penyeludupan berbilion ringgit oleh pihak yang cuba lari daripada cukai. Sekiranya ada kaedah moden untuk memeriksa kontena di pelabuhan dan lapangan terbang, maka lebih banyak penyeludupan tidak boleh terlepas. Kadang-kadang deklarasi dokumen kontena itu adalah barang yang tidak tinggi cukainya tetapi pihak sana melakukan pembohongan bagi mengelak dikenakan cukai yang tinggi.

Kedua, berkaitan JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah ada fail untuk dikongsi ketika kita melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) di mana ada perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak kastam dan LHDN supaya mereka berkongsi maklumat. Ini kerana ketika GST dilaksanakan, kita tahu berapa nilai syarikat-syarikat yang membayar cukai kerana fail GST ini boleh membanteras pelarian cukai. Kini GST hanya digantikan dengan SST, maka fail itu masih ada dan masih boleh dirujuk supaya dapat mengelak penyelewengan.

Yang ketiga, mengenai hasil bumi. Saya difahamkan ada nadir bumi yang nilainya begitu besar iaitu trilion ringgit yang tidak mempunyai kesan radioaktif termasuk di Perak, Pahang dan Johor. Maklumat ini adalah maklumat kementerian. Saya harapkan Majlis Mineral Negara dapat mempercepatkan perkara ini. Badan diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ini boleh memanggil beberapa kementerian dan kerajaan negeri bagi mengenal pasti hasil-hasil bumi, tidak terhad kepada nadir bumi sahaja tetapi sumber lain yang belum diterokai secara kapasiti penuh. Segala nadir bumi ini milik negeri tetapi lesennya milik Persekutuan. Ini boleh dijadikan industri hiliran di mana boleh dibuat kerajaan Pusat.

Cadangan keempat saya adalah Petronas memberikan dividen khas di mana tempoh hari Petronas memberi RM30 bilion untuk membayar pulang balik GST dan LHDN, menjadikan nilainya RM24 bilion. Tahun ini dikatakan syarikat itu akan memberikan RM24 bilion sahaja, namun ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, Petronas memberi RM54 bilion di mana terdapat RM30 bilion perbezaan. Kita faham Petronas memerlukan keuntungan itu untuk menerokai kawasan-kawasan baharu dan membiayai kos penerokaan minyak dan gas tetapi pada kita, ini adalah saat negara memerlukan hasil akibat pandemik. Maka saya kira Petronas boleh memberikan dividen khas. Ini bukan hanya untuk Petronas tetapi juga syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (KMD) dan syarikat-syarikat dibawah Khazanah Nasional Berhad. Selain dividen biasa, mereka harus meningkatkan produktiviti bagi meningkatkan juga hasil dan keuntungan supaya mereka boleh memberi dividen khas kepada kerajaan. Itu adalah sumber yang banyak.

Cadangan yang kelima, Malaysia harus menjadi hab e-dagang serantau seperti yang kita telah katakan pada zaman Barisan Nasional (BN) di mana kita ada MoU bersama Alibaba iaitu Jack Ma, e-dagang terbesar negara China dan salah satu terbesar dalam dunia supaya Malaysia menjadi hab e-dagang serantau. Kini, perkara itu tidak terjadi kerana pertukaran kerajaan. Jadi, kerajaan boleh menghidupkan kembali perkara ini kerana dalam situasi pandemik ini, sektor e-dagang meningkat serta Malaysia berpotensi menjadi pusat e-dagang dan kita oleh meningkatkan pendapatan negara.

Cadangan keenam, satu per empat makanan di Malaysia diimport. Import yang tinggi menyebabkan pengaliran wang keluar. Kalau kita tahu daripada pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jika import tinggi, maka pertumbuhan KDNK akan berkurangan. Jadi, kerajaan perlu pertimbangkan supaya ada pengganti import yang boleh diperhebatkan pengeluarannya di Malaysia. Sebagai contoh, daging dan produk tenusu. Walhal lembu, kerbau, kambing boleh hidup di Malaysia dan kita ada kelengkapannya. Kita berpotensi menjadi gedung makanan negara.

Yang ketujuh adalah mengadakan apa yang kita panggil sebagai reformasi sistem percukaian negara. Kita boleh buang cukai-cukai yang tidak perlu. Contohnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan tujuh cukai baharu dan naikkan tiga cukai lama hanya untuk menggantikan satu cukai iaitu GST. Cukai-cukai itu termasuk cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai digital, cukai soda, cukai pelepasan, cukai petak dan yang dinaikkan adalah cukai keuntungan hartanah (RPGT), duti setem dan cukai taksiran. Namun, hasil daripada cukai-cukai masih tidak seberapa. Kita perlu rombak sistem percukaian ini supaya tidak membebankan rakyat. Harus diketengahkan juga adalah keadaan semasa negara sebelum kita melaksanakan perkara ini dan rakyat juga harus bersedia. Sekiranya kita tidak mahu lagi GST, kita boleh perkenalkan cukai nilai tambah (VAT) untuk menggantikan cukai yang banyak tetapi ini terpulang kepada kerajaan. VAT dibuat di 170 negara. Ia adalah cukai yang boleh menggantikan GST. Saya cadangkan sekiranya VAT dilaksana, kita bermula dengan kadar yang rendah dan cukai-cukai lain yang berkadar tinggi dihapuskan.

Sumber : Utusan

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90