Ekzos bocor mungkin penyebab empat sahabat lemas gas karbon monoksida

 

Kebocoran ekzos mungkin menjadi punca empat sahabat  mengalami keracunan gas karbon monoksida ketika sedang berehat di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).

Perkara itu disahkan juruteknik syarikat kenderaan Honda cawangan Bukit Mertajam di sini, Ng Teik Khuan ketika melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, juruteknik itu berpendapat berlaku kebocoran selepas mendapati ekzos tersebut mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat ketika melakukan pemeriksaan.

“Akibat kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan MPV tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian tengah malam tadi, tiga sahabat maut manakala seorang kritikal selepas dipercayai lemas gas karbon monoksida ketika sedang berehat di dalam kenderaan MPV jenis Honda Odyssey di sebuah stesen minyak di Samagagah dekat sini.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie Shabri meninggal dunia di HSJ.
Nor Adilah Mohd. Safwan pula disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak kira-kira pukul 4.20 petang manakala adik kembarnya, Nor Aqilah dilapor kritikal dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kesemua mereka yang berusia 21 tahun berhenti rehat di stesen minyak itu ketika dalam perjalahan pulang ke rumah di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak di sini. 

 Sumber : Utusan

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url