Hak keistimewaan orang Melayu
Hak keistimewaan orang Melayu di negara ini sering kali dibincangkan baik dalam forum mahupun wacana.
Apa yang menarik tentangnya adalah kebimbangan orang Melayu dan Bumiputera terhadap yang dikatakan semakin terhakis walaupun ia telah dijamin oleh Perlembagaan. Hakikatnya bukan mudah untuk menghapuskan atau meminda hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Ini kerana persetujuan daripada orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ikuti kupasan lanjut isu ini bersama Penulis Kanan Sinar Harian.
Isu dan persoalan hak istimewa orang Melayu sering menjadi tajuk perbincangan, debat dan polemik politik. Boleh saudara ulas?
Malaysia sekarang lebih terbuka membicarakan isu-isu negara yang melibatkan hak-hak rakyat. Ini sejajar dengan perkembangan dunia luar yang berkembang pesat di dalam perkongsian ilmu dan pengetahuan.
Maka tidak hairanlah jika masyarakat Malaysia ikut terpanggil untuk berbincang dan berbicara tentang isu-isu yang relevan kepada kehidupan harian mereka. Termasuklah isu hak istimewa orang Melayu.
Dalam keadaan semasa negara dan dengan realiti hari ini, kita perlu perakui bahawa hak rakyat untuk berbincang dan berbicara isu-isu tersebut tidak boleh dikekang atau dikongkong lagi.
Namun, apa yang perlu ditekankan di sini ialah perbincangan dan perbicaraan isu-isu tersebut perlulah diadakan dengan penuh bertanggungjawab agar hak yang diberi tidak mengundang kemudaratan kepada negara.
Boleh saudara perjelaskan serba sedikit tentang sejarah dan salasilah hak ini di dalam sistem politik negara?
Hak istimewa orang Melayu boleh dijadikan tajuk perbincangan di mana-mana sahaja ataupun oleh sesiapa saja. Namun, ia tidak harus dipertikaikan oleh sesiapa kerana kedudukan mereka sudah ditetapkan pada zaman dahulu lagi.
Sebelum British mula bertapak di Tanah Melayu, sudah wujud sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini. Malah, ia wujud sejak 1895 lagi. Mahu tak mahu, British terpaksa mengiktiraf kerajaan-kerajaan tersebut.
Ketika itu rakyat yang bernaung di bawah kerajaan-kerajaan tersebut adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu yang datang menetap di Tanah Melayu ketika itu bukan rakyat raja dan bukan ditakrif sebagai warga negara.
Oleh yang demikian, orang Melayu diiktiraf oleh British mempunyai hak-hak yang khusus berbanding dengan orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Suruhanjaya Reid telah menggubal Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkara-perkara yang sudah wujud sebelumnya.
Antara perkara tersebut ialah hak istimewa orang Melayu yang menjadi salah satu perkara asas dan dasar kepada Perlembagaan. Hak ini dikekalkan sebagai hak asasi orang Melayu dan juga sebagai ‘a trade-off’ di atas kesanggupan dan pengorbanan orang Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai warga negara.
Orang bukan Melayu ketika itu amat sedar dan akur dengan hakikat ini. Mereka menerima susunan hak orang Melayu dan bukan Melayu dengan hati yang terbuka dan penuh sukarela.
Malah mereka amat mensyukuri hak baharu yang mereka peroleh. Ia disebut atau dikenali sebagai kontrak sosial atau ‘Social Contract’. Diterima oleh semua pihak sebagai asas kepada penggubalan Perlembagaan Negara.
Bagaimana kedudukan hak istimewa orang Melayu di dalam sistem undang-undang negara?
Adalah penting bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, Melayu dan bukan Melayu memahami apakah hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan tersebut.
Menurut Perkara 3 Perlembagaan, Islam adalah agama Persekutuan. Namun, Perkara 3(1) membenarkan agama atau kepercayaan lain diamalkan secara aman di seluruh negara.
Kedudukan agama Islam diperkukuhkan lagi dengan Perkara 11(4). Menurut Perkara tersebut, jabatan-jabatan penguatkuasa agama di peringkat negeri diberi kuasa untuk mengawal dan menyekat penyebaran kepercayaan atau agama lain dalam kalangan umat Islam, khususnya orang Melayu.
Perkara 8(4)(f) menjelaskan Rejimen Askar Melayu Tentera Diraja Malaysia hanya untuk orang Melayu. Jika kita menyorot kembali sejarah, Rejimen Askar Melayu ini ditubuhkan pada tahun 1933.
Pasukan tentera yang hanya terdiri daripada kaum Melayu itu memerangi tentera Jepun dan komunis pada zaman 40-an. Oleh itu, sebagai mengenang jasa mereka, Rejimen Askar Melayu dikekalkan hanya untuk kaum Melayu.
Begitu juga Perkara 89 memperuntukkan hak Melayu ke atas Tanah Rizab Melayu dan Perkara 152 pula memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Apakah isu ini membawa apa-apa impak di dalam PRU14?
Umno dan Pas nampak banyak menyuarakan tentang hak istimewa orang Melayu semasa dan sebelum PRU14. Mereka seolah-olah mengguna isu ini sebagai alat dan senjata untuk menakutkan orang Melayu dengan membawa mesej bahawa hak tersebut terjamin jika Umno dan BN terus memerintah dan sebaliknya akan terhakis jika Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan.
Sementara itu kepada masyarakat bukan Melayu, Umno dan BN membawa mesej dan mendendangkan lagu yang berlainan pula kepada mereka untuk menjamin hak dan memberi keselesaan kepada mereka.
Strategi ini dikira berhasil semasa PRU terdahulu. Tetapi semasa PRU14, ia tidak berhasil kerana masyarakat sudah bosan dgn taktik ini.
Bagaimanakah cara yang terbaik untuk rakyat Malaysia menangani isu ini?
Pihak kerajaan dan rakyat jelata perlulah menangani setiap hal dan isu yang berkaitan dengan negara dengan penuh rasa tanggungjawab. Pemikiran dan persepsi rakyat juga bisa berubah.
Bagaimana hala tuju dan masa depan negara?
Masa depan negara akan banyak bergantung kepada realiti politik semasa negara. Antaranya kesanggupan kerajaan untuk mentadbir urus negara dengan tegas dan adil.
Serta kesanggupan rakyat untuk mendisiplinkan diri di dalam mengguna hak-hak mereka. Tidak dapat dinafikan lagi realiti hari ini dan trend untuk masa depan ialah peranan rakyat sebagai kuasa dan suara yang dominan sebagai penentu dalam mencorakkan kerajaan, politik dan hala tuju negara.
Jika kita sama-sama mahukan negara terus aman damai, berdaya maju dengan perpaduan yang kukuh di antara kaum, maka antara syarat-syarat utama yang perlu dihormati adalah rakyat perlu lebih bertanggungjawab di dalam mengguna hak mereka agar ia diimbangi oleh undang-undang dan kepentingan utama negara.
Sumber : Sinar Harian