Jelmaan misteri di Bukit Salbiah

 

Wanita berpakaian putih dilihat berjalan perlahan-lahan sambil mengendong bayi. Dia kemudian berhenti di tepi selekoh tajam seolah-olah menunggu seseorang sambil memerhatikan gaung curam di laluan itu.

Kadang-kadang wanita itu dilihat melambai-lambai pengguna jalan raya di tepi gaung pada waktu malam, meminta mereka menumpangkannya untuk mencari kekasih hati yang dikatakan menjadi peragut nyawanya.

Wanita berkenaan hanya dapat dilihat pengguna jalan raya yang ‘bertuah’ apabila melalui Jalan Bukit Fettes, Tanjung Bungah selepas waktu senja hingga tengah malam.

Kelibat wanita dikenali sebagai Salbiah dikatakan mula menghantui pengguna jalan raya di Jalan Bukit Fettes selepas mayatnya ditemui di dalam gaung di laluan berkenaan pada 15 November 1980.

Sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an terdapat peringatan supaya pengguna jalan raya berhati-hati jika melalui laluan alternatif berkenaan yang menghubungkan Jalan Tanjong Tokong ke Batu Feringghi itu.

Ketika itu, Jalan Bukit Fettes digeruni bukan sahaja kerana laluannya yang berbukit dan mempunyai selekoh sempit yang tajam, namun namanya turut dikenali sebagai Bukit Salbiah menyimpan misteri pembunuhan membabitkan seorang wanita.

Bukit Salbiah mendapat namanya apabila mayat seorang pekerja kilang, Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27, ditemui di dalam gaung di Jalan Bukit Fettes itu.

Salbiah, seorang pekerja kilang di Bayan Lepas dikatakan dibunuh kekasihnya, seorang anggota polis dan mayatnya dibuang di dalam gaung di situ bagi menghapuskan bukti percintaan terlarang mereka.

Dia dikatakan menjadi mangsa selepas terlibat dalam cinta tiga segi. Kekasihnya membunuh wanita cantik itu bagi mengelakkan hubungan mereka diketahui tunangnya yang tinggal di Melaka.

Pembunuh Salbiah akhirnya ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 1984 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan lelaki berkenaan membunuh Salbiah dan bukannya mati akibat membunuh diri seperti didakwa.

Cerita misteri mengenai entiti jelmaan Salbiah turut terkenal dalam kalangan pelajar sebuah sekolah menengah yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan gaung lokasi mayat wanita itu dibuang.

Berkongsi pengalaman, bekas pelajar sekolah berkenaan, Azmi Ibrahim, 38, menceritakan, dia mempunyai pengalaman seram yang sukar dilupakan.

Azmi yang kini menetap di Kulim, Kedah menceritakan, sekitar tahun 1998 dia pernah tersesat di kawasan hutan dan gaung di situ.

Semuanya gara-gara seorang rakannya celupar mempersendakan kisah Salbiah yang menjadi buah mulut di sekolah itu.

“Ketika itu saya menjadi Ketua Pengawas, tugas saya mencari pelajar ponteng di dalam hutan di belakang sekolah.

“Kami berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menjejaki pelajar yang sering ponteng, namun tersesat hingga lebih lima jam di gaung berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Azmi berkata, ketika itu kawasan hutan yang kecil dan biasa dimasuki terasa begitu gelap, sunyi serta menyeramkan.

“Sebelum masuk ke dalam hutan pada pukul 8 pagi, ada rakan saya yang mempermainkan nama Salbiah. Dia kata nanti masuk mesti jumpa hantu Salbiah.

“Kami yang mendengar hanya mendiamkan diri dan akhirnya gagal mencari jalan keluar dari gaung tersebut walaupun jaraknya dengan jalan utama hanya 500 meter. Hanya selepas lima jam dan pelbagai surah al-Quran dibaca, baru dapat mencari jalan keluar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Azim Mohd. Naim, 29, berkata, dia baru dua bulan bekerja di kawasan berhampiran Bukit Salbiah itu.

“Sebelum ini, memang saya tahu mengenai kisah Salbiah daripada rakan-rakan tetapi sejak bekerja di situ tidak pula saya berjumpa dengan entiti yang pelik dan menyeramkan.

“Ada yang kata Salbiah akan tunggu di selekoh, tepi gaung dan sebagainya, namun apabila saya jalankan rondaan pada waktu malam tidak pula saya diganggu,” katanya.

Azim berkata, kawasan Bukit Salbiah itu yang dahulunya digeruni tidak lagi sunyi apabila kawasan itu kini menjadi kawasan perumahan mewah.

“Ramai yang telah melupakan kisah Salbiah, kawasan ini juga telah dihuni ramai dan tidak sunyi seperti dahulu.

“Kisah Salbiah telah dilupakan, namun Bukit Salbiah akan tetap diingati penduduk setempat sebagai salah satu lokasi paling menyeramkan di negeri ini,’’ katanya.

 - Kosmo!

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url