Kura-kura aligator ditemui di Florida
Seekor kura-kura aligator gergasi yang mempunyai berat sekitar 45 kilogram (kg) ditemui beberapa pegawai pemuliharaan hidupan liar di sebatang sungai di Florida, lapor Daily Mail.
Menurut seorang ahli biologi Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan (FWC), reptilia jantan itu merupakan satu daripada tiga kura-kura aligator yang ditangkap di sungai New River.
“Sungai itu mempunyai aliran perlahan dan paras airnya cetek. Justeru, penemuan kura-kura gergasi ini adalah luar biasa.
“Kami mengkaji spesies tersebut yang kelihatan seperti haiwan prasejarah sejak tahun 2014 lagi. Reptilia itu dianggarkan berumur antara 40 tahun hingga 80 tahun,” kata ahli biologi tersebut.
Katanya lagi, tiga reptilia itu yang setiap satu seberat 45 kg, 29 kg dan 21 kg berjaya ditangkap selepas pihak FWC memasang enam perangkap di sungai tersebut.
Kura-kura aligator yang ditemui itu merupakan spesies baharu dikenali dengan nama saintifik Macrochelys suwanniensis atau Suwannee.
“Selepas kami merakam gambar serta merekodkan maklumat penting mengenai reptilia itu, semua haiwan berkenaan dilepaskan semula ke sungai.
“Pihak kami turut bekerjasama dengan kumpulan penyelidik di negeri Florida dan Georgia untuk mengkaji saiz populasi serta taburan habitat kura-kura aligator Suwannee. Ia merupakan haiwan asal di kawasan ini,” jelasnya
Tidak seperti kura-kura biasa, kura-kura aligator adalah haiwan pemangsa dan bersifat karnivor.
Sumber : Agensi