Pakej khas jalur lebar untuk belia
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama bagi mewujudkan pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia.
Perdana Menteri berkata perincian pakej akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat.
Pakej itu katanya bakal menyediakan perkhidmatan dengan kos yang rendah dan terma yang lebih menarik bagi membantu golongan belia memenuhi keperluan pembelajaran dan perhubungan di era norma baharu.
Kerajaan sedar golongan belia adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif. Belia hari ini dilahirkan sebagai warga negara digital.
"Penggunaan komputer dan telefon pintar menjadi suatu keperluan kepada golongan ini untuk berkomunikasi, belajar dan bekerja. Golongan belia juga menjadi harapan kita untuk mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.
"Oleh itu, golongan ini perlu diberi pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu. Untuk mencapai hasrat ini, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama untuk mewujudkan pakej-pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia," katanya pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mapan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah.
Katanya, kapasiti sambungan jalur lebar di negeri ini akan disalurkan kepada infrastruktur seperti ibu sawat gentian optik dan menara telekomunikasi di seluruh Sabah.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Telekom Malaysia Berhad yang meneruskan komitmennya untuk mendukung pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menerusi inisiatif Gerbang Sabah ini.
"Inisiatif penting ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih cepat dan menyeluruh," katanya.
Bagi memastikan kualiti sambungan jalur lebar nasional terus ditingkatkan dan merapatkan jurang digital dalam negara, kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru, di sini, ditingkatkan daripada 4 Terabit sesaat kepada 7.3 Terabit sesaat.
Telekom Malaysia akan menaik taraf dan menggandakan lagi kapasiti SKRM sebanyak tiga kali ganda sehingga sekurang-kurangnya 12.8 Terabit sesaat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Ia akan membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia.
"Kapasiti SKRM ini amat penting untuk menampung peningkatan penggunaan internet oleh rakyat di Sabah serta menyokong matlamat pelan tindakan JENDELA yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
"Semoga usaha ini akan merapatkan jurang digital antara negeri di Malaysia selain meningkatkan reputasi Sabah di mata dunia.
Sumber : Berita Harian