Top Ad 728x90

, , ,

Tun M tidak bertanding PRU-15

mahathir tak bertanding pru 15

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun akan terus memerangi rasuah melalui Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

"Saya mahu sedikit masa lagi, tetapi saya fikir saya akan berkhidmat dalam jangka masa yang singkat.

"Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya ke-15," katanya kepada Kyodo News dalam wawancara di pejabatnya, di Putrajaya seperti yang dilaporkan Nikkei Asian Review semalam.

Dr Mahathir yang kini berusia 95 tahun memegang rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia ketika beliau memegang jawatan itu untuk kali kedua selepas memimpin Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan yang tidak dijangka pada pilihan raya Mei 2018.

Beliau juga Perdana Menteri paling lama berkhidmat pada giliran pertamanya iaitu bermula tahun 1981 hingga 2003.

Bagaimanapun kali ini, Dr Mahathir memegang jawatan berkenaan dalam tempoh singkat iaitu kurang dua tahun sebelum meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kaedah pentadbiran lama kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya mengamalkan rasuah.

"Selama tiga bulan selepas PN menjadi kerajaan, saya tidak membuat sebarang komen kerana ingin melihat prestasi mereka.

"Sayangnya, ia berubah menjadi rasuah, membeli sokongan untuk kerajaan tetapi masih mempunyai majoriti dua Ahli Parlimen," katanya.

Ketika ini Muhyiddin mendapat sokongan 113 anggota Dewan Rakyat daripada 222 Ahli Parlimen. Beliau bagaimanapun digugat pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang awal minggu ini mendakwa mempunyai cukup penyokong untuk mengambil alih kerajaan.

Anwar turut mendakwa hanya memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membentuk kerajaan baharu.

Dr Mahathir sebaliknya berpendapat Anwar mesti mengemukakan jumlah itu di Parlimen untuk mengesahkan beliau benar-benar mempunyai sokongan.

"Sama ada beliau mempunyai majoriti, mesti dibuktikan terlebih dahulu dan untuk membuktikannya, beliau mesti pergi ke Parlimen," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyokong musuh lamanya Anwar, Dr Mahathir berkata anggota partinya, PEJUANG sudah menghubungi Anwar sebelum ini tetapi ditolak.

"Kami sudah banyak kali mengusulkan untuk bekerja dengannya tetapi ditolak. Oleh itu, kami harus memikirkan dengan teliti sama ada harus menyokongnya atau tidak.

"PEJUANG mempunyai prinsip yang sangat kuat, di antaranya adalah untuk menghapuskan rasuah di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir maklum beliau tidak mempunyai banyak waktu lagi dan mengharapkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan meneruskan warisannya.

"Terserah kepadanya. Saya tidak akan menghalang. Ini tidak adil baginya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90