Pusat Analitik Data Raya Negara akan diwujudkan

 

Menyedari kepentingan analisis data raya dalam sektor awam, kerajaan akan menubuhkan sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara ke arah penggubalan dasar lebih komprehensif dan tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pusat itu bertujuan menyokong hasrat kerajaan memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analisis data selaras inisiatif Kerajaan Digital.

Beliau berkata, penubuhan pusat tersebut menerusi kerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa kementerian lain.

“Pengukuhan sistem statistik negara diyakini mampu memberi impak positif termasuk menjamin ketersediaan data yang lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam usaha merangka dasar jangka pendek dan panjang.

“Dalam masa yang sama, pengukuhan itu turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia secara maya semalam.

Tambah Mustapa, pada 9 September lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memperkasa sistem statistik negara dengan meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik dan penyelarasan maklumat negara.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN dengan majlis itu turut dianggotai beberapa menteri, wakil kerajaan dan swasta.

“Kabinet turut bersetuju memberi peranan lebih besar kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara dengan jabatan itu bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan lain dan agensi kerajaan.

“Selaras dengan itu, Ketua Pegawai Data (CDO) Jabatan Perangkaan di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM turut dilantik bagi membangunkan mekanisme sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama perkongsian data,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) juga akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang akan dilaksanakan apabila fungsi serta peranan DOSM diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya sebagai sebuah agensi statistik setanding dengan agensi statistik terbaik seluruh dunia.

“Covid-19 telah mengubah kehidupan manusia dengan kita perlu hidup dalam norma baharu dan disiplin tinggi bagi memutuskan rangkaian jangkitan ini.

“Daripada krisis ini, kerajaan menyedari kepentingan data untuk merangka strategi khusus bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas dengan lebih teruk.

“Oleh itu, sistem statistik negara perlu diperkukuh bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan,” katanya.

Sumber : Utusan

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url