Dua rangka mangsa letusan gunung berapi 79 Masihi ditemui
Mayat dua mangsa letusan Gunung Vesuvius hampir 2,000 tahun lalu digali di sebuah villa besar di pinggir bandar ini, menurut pegawai laman web arkeologi, semalam.
"Dua rangka individu yang terperangkap dalam letusan telah dijumpai," kata pegawai itu yang berada di tapak berkenaan berhampiran Naples, dalam satu kenyataan.
Penyelidik percaya, berdasarkan keadaan rangka mangsa berkenaan, ia dipercayai adalah seorang budak dan lelaki tua kaya, berusia sekitar 40-an yang mungkin pemilik villa, berdasarkan sisa pakaian dan penampilan fizikal mereka.
Kota Pompeii hancur akibat lumpur panas dan lava akibat letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 Masihi.
Ia kini menjadi tempat tarikan pelancongan kedua yang paling banyak dikunjungi di Itali selepas Colosseum Rom, dengan hampir empat juta kunjungan tahun lalu.
Tapak besar seluas 44 hektar itu adakah sebahagian sisa dari salah satu bandar terkaya dalam empayar Rom.
Sisa letusan gunung berapi itu menenggelamkan banyak bangunan dan objek yang masih dalam keadaan asal termasuk mangsa yang meringkuk.
Penyelidik kemudian menganalisa tulang dan kemudian mencurahkan lepa seperti teknik yang diciptakan oleh Giuseppe Fiorelli pada tahun 1867 ke atas rangka itu.
Berdasarkan lepa itu, jelas memperlihatkan bentuk tubuh kedua-dua mangsa, dalam kedudukan terlentang, besar kemungkinan kedua-duanya terjatuh.
Kedua-dua rangka itu ditemui ketika kerja penggalian berterusan dijalankan di Civita Giuliana, sekitar 700 meter di barat laut Pompeii, di tapak sebuah villa yang menghadap ke Teluk Napoli, tempat yang sama ditemui kandang dan tiga ekor kuda.
Kedua-dua rangka itu dijumpai di ruang sisi 'cryptoporticus' di koridor di bahagian bawah villa, kemungkinan mereka ketika itu melarikan diri untuk mencari perlindungan.
Kerja penggalian diteruskan di tapak Pompeii susulan sektor pelancongan kini terpaksa dihentikan kerana pandemik COVID-19.
Sumber : AFP