Hawaya mudah urusan cari jodoh
Seringkali kita mendengar jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan. Ada yang mudah jodohnya dan mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan di awal usia.
Begitu juga sebaliknya, ada yang sukar mendapat jodoh walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun rezeki untuknya membina keluarga masih belum berpihak kepadanya.
Dalam mencari pasangan hidup, usaha itu sesuatu yang penting kerana jodoh tidak datang bergolek.
Kini dengan perkembangan teknologi, hal demikian menjadi semakin mudah kerana banyak aplikasi mencari jodoh telah dibangunkan.
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan pada tahun 2017, seramai tiga
daripada 10 rakyat Malaysia adalah pengguna aktif aplikasi mencari
jodoh.
Ini menunjukkan bahawa masyarakat negara ini sudah bersedia
menggunakan teknologi itu sebagai salah satu medium untuk mencari jodoh.
Hawaya antara salah satu aplikasi mencari jodoh yang dibangunkan dalam
membantu mereka di luar sana yang ‘berat’ dalam hal jodoh untuk mencari
pasangan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Hawaya, Sameh Salleh berkata, Hawaya adalah
satu aplikasi mencari jodoh yang dibangunkan di Mesir pada mulanya.
Menurutnya, perkataan Hawaya diambil daripada perkataan ‘Hawa’ yang membawa maksud cinta dalam bahasa Arab.
“Hawaya diilhamkan oleh saya sendiri pada tahun 2017, sebagai cara untuk membantu adik perempuan saya mencari jodoh dengan cara yang mudah, selamat dan selesa.
“Aplikasi ini juga bertujuan untuk memperkasa umat Islam yang belum berpasangan bagi membina hubungan yang bermakna, disamping menghormati budaya dan tradisi agama Islam,” jelasnya.
Tambahnya, dia gembira kerana berpeluang untuk membawa aplikasi itu ke Malaysia dan digunakan oleh masyarakat Islam di negara ini.
Menyemai silaturahim yang berkekalan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, dan ia juga memerlukan komitmen yang tinggi.
Sameh menegaskan, dia faham cabaran yang dihadapi oleh jejaka-jejaka dan kaum Hawa dalam mencari pasangan hidup. Justeru, dia mahu membantu mereka di luar sana mencari pasangan hidup.
Dari saat pertemuan hinggalah ke hubungan yang berkekalan terjalin, Hawaya memastikan platform kami selamat untuk digunakan, di samping menitikberatkan dan menghormati kehendak budaya dan tradisi agama Islam.
Hawaya menggunakan teknologi dan pendekatan saintifik untuk membina platform mencari jodoh yang sesuai dengan agama dan budaya.
Pengguna yang mendaftar masuk ke aplikasi Hawaya perlu menjawab beberapa soalan mengenai pendidikan atau sektor pekerjaan, serta soalan-soalan berkenaan pilihan peribadi seperti hobi dan minat.
Aplikasi ini juga mementingkan keselamatan pengguna dan setiap profil perlu disahkan melalui proses pengesahan selfie gambar untuk menapis profil-profil palsu.
Sebagai tambahan, pengguna juga boleh mengaktifkan fungsi guardian untuk mengajak dan melibatkan ahli keluarga atau rakan yang dipercayai untuk turut serta dalam perbualan dengan pengguna yang lain dalam aplikasi ini.
Antara fungsi lain yang disediakan Hawaya termasuklah blur option yang mana pengguna wanita mempunyai pilihan untuk mendedahkan gambar mereka hanya kepada pengguna yang mereka selesa menghubungi.
Selain itu terdapat juga fungsi exclusive mode, apabila dua pengguna dipadankan, mereka boleh memilih untuk memulakan perbualan eksklusif.
Ini sekaligus akan menyahaktifkan semua perbualan mereka bersama pengguna-pengguna lain dalam aplikasi berkenaan.
Melalui fungsi itu juga, pengguna mempunyai peluang untuk memberi tumpuan, berkenalan, dan berbual dengan lebih mendalam dengan hanya satu orang pada satu-satu masa.
Dengan niat untuk bina hubungan yang tulen dan jujur, Hawaya juga membantu dengan memberikan topik-topik pengenalan dan perbualan permulaan yang diperibadikan untuk membantu pengguna mengambil langkah pertama.
Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui platform Google Play dan App Store.
Dalam budaya Islam di Malaysia, ahli keluarga dan masyarakat akan menyarankan lelaki dan wanita mencari pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.
Ia sudah menjadi suatu kebiasaan, terutama sekali bagi lelaki dan perempuan yang sudah mencecah usia 30-an.
Untuk membantu kaum Adam dan Hawa dalam mencari pasangan yang tepat untuk membina hidup bersama, Hawaya akan memperkenalkan inisiatif yang dikenali sebagai program #sisterinhearts.
Ia tujuan untuk memudahkan perbincangan mengenai pencarian cinta dan pasangan yang tepat di dunia moden, sambil memberikan tumpuan utama kepada nila-nilai tradisi Islam dan adat Melayu.
“Dalam masyarakat dan budaya Islam, kita meletakkan kepentingan untuk memulakan kehidupan berkeluarga sebaik saja mencapai umur yang sesuai.
“Tetapi, untuk membina sebuah institusi perkahwinan, setiap individu selalunya akan melalui proses kenal mengenal antara satu sama lain,” kata Sameh lagi
Tambahnya, melalui aplikasi itu dia ingin membantu dengan menemukan setiap individu yang mempunyai pemikiran yang selari dengan nilai budaya sama, untuk bertemu dan berhubung secara bebas dalam persekitaran yang selamat melalui platform itu.
Sumber : Kosmo!