SOP gelembung perjalanan domestik dilonggarkan

 

Kerajaan bersetuju untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) gelembung perjalanan domestik bermula Ahad ini bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan tempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata empat jenis pergerakan dibenarkan di bawah SOP berkenaan, iaitu rentas daerah dalam negeri hijau yang dibenarkan tanpa perlu mendapat kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

 "(Kedua) pergerakan rentas negeri antara negeri hijau, yang pergerakan ini dibenarkan tanpa perlu mendapat kebenaran PDRM.

"(Ketiga) pergerakan rentas negeri antara negeri hijau melalui negeri merah yang dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran pihak PDRM.

"(Keempat) pergerakan rentas daerah/negeri dari negeri hijau ke daerah hijau di negeri merah dengan pergerakan ini dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran pihak PDRM," katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran gelembung perjalanan domestik ini akan menggunakan aplikasi My Sejahtera bagi menentukan seseorang itu datang dari zon hijau.

"SOP terperinci akan diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam masa terdekat," katanya.

Berkaitan penganjuran majlis dan acara di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata, ia bebas diadakan seperti di Pahang, cuma SOP seperti penjarakan fizikal perlu dipatuhi.

"Di kawasan PKPB, mesyuarat pun kita tidak benarkan. Majlis pelancaran secara bersemuka memang tidak boleh. Dalam SOP kita sudah perkenalkan, kalau mahu diteruskan, program mesti dilakukan secara maya," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati pelajar yang masih berada di universiti awam (UA) digalak untuk berada di kampus memandangkan sesi pembelajaran dan kuliah masih berjalan ketika ini.

"Cuti pengajian masih belum bermula, iaitu pada Januari atau Februari. Mereka masih dalam tempoh pembelajaran dan kita galakkan untuk mereka berada di sana sebab lebih selamat terutama kampus zon hijau.

"MKN (Majlis Keselamatan Negara) tidak hadkan perjalanan. Kalau dia dari Sabah, SOP dia, siapa saja boleh balik tetapi sampai sini (keluar dari Sabah) kena buat ujian dan kuarantin diri 14 hari. Bagi mereka dari zon PKPB ke PKPB perlu jalani ujian RTK-antigen," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url