11 Januari 2021

, ,

Kadar pengangguran November 2020 pada paras 4.8 peratus

 


Kadar pengangguran meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya, yang mana jumlah penganggur setakat bulan berkenaan adalah 764,400 individu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berikutan gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi

membendung peningkatan drastik kes COVID-19 dan seterusnya mengimbangi keperluan di antara sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PKPB yang bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020 telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

"Semasa PKPB, perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, pada November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

"Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748,200 orang).

Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang), katanya.

"Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang)."

"Mengenai situasi guna tenaga, pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

"Pada bulan berkenaan, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19.6 ribu orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang. Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; freelancers; dan pekebun kecil," katanya.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan di mana secara purata melebihi 1,500 kes sehari.

"Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. Pada bulan itu juga, didapati lebih banyak aktiviti perjalanan domestik berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

"Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90