Syarikat pilih pekerja berkemahiran berbanding pendidikan, pengalaman

 

Sebahagian besar syarikat di Malaysia lebih memilih mengupah pekerja yang mempunyai kemahiran, melebihi kelayakan seperti tahap pendidikan atau pengalaman, demikian hasil Laporan Bakat Masa Depan LinkedIn.

Laporan yang berdasarkan kaji selidik itu mendapati banyak syarikat di Malaysia gemar mengambil pekerja dengan kemahiran teknikal (38 peratus) dan kemahiran boleh dipindahkan (28 peratus), yang mana ia lebih diutamakan berbanding kelayakan tradisional seperti pendidikan (10 peratus) dan pengalaman minimum mengikut tahun (12 peratus).

Malah, dua daripada tiga (67 peratus) syarikat terbuka untuk mengambil pekerja dari industri lain jika kemahiran yang mereka miliki sesuai dengan keperluan pekerjaan.

Laporan itu juga mendapati syarikat lebih terbuka meneroka bakat dalam organisasi untuk mengisi jawatan terbuka dengan 85 peratus syarikat di Malaysia bersedia mengambil pekerja dalaman kerana mereka dapat memanfaatkan perspektif pekerja dalaman sedia ada (72 peratus), memberikan rasa kemajuan kepada pekerja (65 peratus), dan mendorong kesetiaan (56 peratus). 

Walau bagaimanapun, syarikat mesti menyediakan program latihan untuk membantu pekerja dalam mempelajari kemahiran yang berkaitan.

Syarikat di Malaysia mencari tiga kemahiran insaniah khususnya ketika merekrut secara dalaman, iaitu kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi, dan pemikiran strategik. 

Antara ketiga-tiga kemahiran itu, kemahiran menyelesaikan masalah (46 peratus) menonjol sebagai salah satu kemahiran mendapat permintaan tinggi berbanding pasaran lain di Asia Pasifik (APAC).

Naib Presiden Bakat dan Penyelesaian Pembelajaran APAC LinkedIn, Feon Ang, berkata berikutan pandemik, peranan baharu diwujudkan dan peranan sedia ada telah berkembang.

Beliau berkata, mengambil bakat dengan kemahiran yang tepat sangat penting bagi organisasi, dan ketika ini, adalah kurang penting bakat mempunyai kelayakan tradisional atau pengalaman industri.

"Menuju ke depan, kita dapat melihat ekonomi berasaskan kemahiran terbentuk, dengan kemahiran menjadi mata wang baharu bagi pekerja untuk dunia pekerjaan masa depan. Saya menggalakkan semua individu untuk menerapkan pengembangan pola berfikir, dan terus belajar untuk kekal relevan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi melaksanakan proses pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran, pemimpin Sumber Manusia (HR) memanfaatkan kekuatan data dan pandangan.

Hampir sembilan daripada 10 syarikat di Malaysia memahami pentingnya menggunakan pandangan berdasarkan data dalam keputusan pengambilan mereka.

Malah, syarikat Malaysia (55 peratus) memimpin rantau ini dalam menggunakan data secara kerap untuk pemetaan kemahiran dengan keperluan jawatan terbuka.

Bidang penggunaan data tertinggi ialah dalam mengenal pasti kemahiran yang diperlukan pada masa depan (57 peratus), kemahiran teknikal tertinggi yang diperlukan untuk peranan atau profil tertentu (55 peratus) dan mengukur prestasi pekerja (52 peratus).

Data juga dapat membantu syarikat merancang aktiviti pembabitan pekerja yang berkesan, yang mana syarikat boleh melipatgandakan usaha pembabitan pekerja untuk membantu mereka kekal inspirasi dan berhubung.

Mengikut laporan itu, rancangan kerja yang fleksibel adalah aktiviti yang paling berkesan dalam meningkatkan tahap pembabitan dan ia sangat penting dengan pekerjaan hibrid dan jarak jauh.

Secara purata, syarikat di Malaysia menyasarkan gabungan 41 peratus pekerja jarak jauh dan 59 peratus pekerja fizikal.

"Dengan kemahiran menjadi pemacu pertumbuhan sekarang dan masa depan, sangat penting untuk HR dan pemimpin perniagaan dilengkapi dengan peralatan canggih seperti analisis data.

"Alat ini dapat membantu mereka mengenal pasti calon yang berpotensi memiliki set kemahiran dan pekerja dalaman yang kemahiran mereka dapat ditingkatkan semula," kata Ang.

Laporan LinkedIn itu juga menunjukkan 55 peratus syarikat di Malaysia menyifatkan, HR berperanan penting dalam pembangunan dan latihan pekerja dan 57 peratus menyatakan pembabitan pekerja sebagai satu lagi peranan penting HR.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url