BSN Takaful Sakinah pelan serendah RM55 setahun
Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN Takaful Sakinah, pelan perlindungan takaful mampu milik khas untuk golongan B40, dengan bayaran serendah dari RM55 setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata pelan perlindungan itu akan meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful di Malaysia.
Katanya, adalah amat penting untuk lebih ramai individu memiliki pelan perlindungan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka.
"BSN Takaful Sakinah diperkenalkan sebagai 'Pelan Perlindungan Pertama', yang dihasilkan khas untuk membantu komuniti mengurangkan beban kewangan terhadap orang yang tersayang jika berlaku musibah kematian terhadap peserta.
"Dengan pelan perlindungan baharu yang dilancarkan bersama pihak BSN ini, kami berada pada landasan yang tepat dalam misi kami untuk menyediakan perlindungan kewangan yang mampu milik dengan akses mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk itu secara maya, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah.
BSN Takaful Sakinah adalah pelan boleh diperbaharui secara tahunan dengan perlindungan selama 12 bulan.
Ia produk patuh Syariah yang mana peserta harus mempunyai akaun simpanan BSN untuk membolehkan mereka membuat pendaftaran.
Pelan itu menawarkan perlindungan untuk musibah kematian sama ada atas sebab semula jadi atau kematian akibat kemalangan dengan manfaat khairat sehingga RM3,500.
Pelan mampu milik dengan pendaftaran mudah ini tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan, selain terbuka untuk mereka yang berumur antara 19 sehingga 50 tahun.
Terdapat tiga pilihan pelan perlindungan dengan bayaran tahunan sebanyak RM55, RM110 atau RM165 yang akan ditolak daripada akaun bank peserta.
Tuntutan perlindungan bagi kematian atas sebab semula jadi bermula daripada RM10,000 sehingga RM30,000, manakala untuk kematian yang diakibatkan oleh kemalangan, ia boleh mencecah sehingga RM60,000.
Bagi mereka yang berminat untuk melanggan pelan perlindungan ini, mereka boleh berkunjung terus ke cawangan BSN yang terdekat atau mendaftar secara layan diri melalui laman sesawang BSN, yang akan diumumkan kelak.
Sementara itu, Jay Khairil berkata, pelan perlindungan baharu itu amat bertepatan dengan visi BSN memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.
"Adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui jaringan rangkaian yang luas dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
"Pelan ini menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada kumpulan komuniti B40 untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan takaful dengan kadar sumbangan yang berpatutan," katanya.