Pelan Yes percuma untuk keluarga B40
Perkhidmatan telekomunikasi Yes, milik YTL Communications mengumumkan pelan Yes Prihatin yang memberikan telefon pintar dan data percuma buat keluarga serta individu daripada kumpulan B40 menerusi inisiatif Jaringan Prihatin yang diumumkan kerajaan semalam.
Jaringan Prihatin yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan subsidi tahunan bernilai RM300 dan RM180 untuk keluarga serta individu yang didaftarkan di bawah golongan B40, bagi membantu mereka memiliki peranti dan data.
Terdapat dua pelan disediakan Yes iaitu Yes Prihatin Belajar Dari Rumah Keluarga dan Yes Prihatin Belajar Dari Rumah Individu, yang mana dengan subsidi Jaringan Prihatin, kedua-dua pelan tersebut menyediakan telefon, data dan akses kepada portal pembelajaran Learn-From-Home oleh Yayasan YTL selama setahun tanpa sebarang deposit, kontrak mahupun bayaran.
Perbezaan antara kedua-dua pelan ini ialah pelanggan pelan untuk keluarga menerima data 30 gigabait (GB) sebulan, manakala pelan individu menerima 15 GB data sebulan.
Selain itu, pelanggan turut menerima baucar Shopee bernilai RM50.
Pengarah Urusan YTL Communications Sdn. Bhd., Datuk Yeoh Seok Hong berkata, pelan Yes Prihatin membekalkan keluarga dengan telefon pintar percuma dan data percuma untuk setahun, membolehkan mereka fokus kepada pelajaran, pekerjaan dan perniagaan masing-masing.
“Namun, kami percaya itu sahaja tidak cukup, jadi kami memberi akses penuh kepada kandungan Learn-From-Home Yayasan YTL untuk anak-anak mereka, supaya tiada yang tercicir daripada arus pendidikan.
“Ini sangat penting kerana seluruh negara sekali lagi beralih ke model pengajaran dan pembelajaran atas talian mulai 17 Mei,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.
Sejak pelaksanaan PKP pertama pada Mac 2020, Yes telah menyokong kumpulan B40 berdepan cabaran pandemik bermula pengenalan program Learn-From-Home yang menyediakan kandungan pendidikan dan data percuma buat semua pelajar sekolah kebangsaan, selain telefon percuma buat pelajar daripada keluarga B40.
Program itu diperluaskan kepada semua mahasiswa ijazah sarjana muda
pada Julai 2020 dan 230,000 guru di bawah Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan Malaysia mulai April tahun ini.
Pelan Yes Prihatin boleh didapati di www.yes.my/kasiupB40 dan aplikasi MyYes.