Misi Gaza guna duit sendiri, bukan derma - Ebit Lew
Pendakwah Ebit Lew menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin, adalah menggunakan wangnya sendiri bukannya daripada kutipan mana-mana tabung derma.
Beliau menyatakan perkara itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia membazirkan kos tertentu hasil sumbangan terhadap misi berkenaan untuk masuk ke Gaza.
"Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.
"Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT," katanya.
Beliau yakin perkara untuk memburuk-burukkan niat baik pasukan bantuannya itu tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.
"Niat kami bersama sahabat-sahabat saya adalah membantu rakyat di Gaza, Palestin dan tak pernah ada satu tabung pun diwujudkan.
"Segala kos dan perbelanjaan adalah menggunakan duit saya sendiri," katanya.
Terdahulu beliau membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.
"Sebelum ini saya berdiam diri dengan tohmahan dan fitnah terhadap diri saya dari dulu lagi, namun berkaitan isu terbaru ini apabila anak dan isteri saya sendiri menangis dan kecewa mengenai segala tuduhan yang dilemparkan, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis.
"Laporan ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Dang Wangi.
Terdahulu rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.
Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia mendakwa pasukan misi Ebit Lew membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.
Ebit berkata beliau sedih dengan laporan tidak berasas yang disebarkan di media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.
"Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.
Sumber : Berita Harian