Sistem penghadaman terjejas

 

Cirit-birit, sakit perut, darah dalam najis, lendir pada najis dan sakit ketika membuang air besar antara simptom radang usus yang menimbulkan pelbagai komplikasi yang serius.

Penyakit radang usus adalah keradangan sistem penghadaman terutama usus yang terbabit dalam penghadaman makanan, menyerap nutrien, air dan membuang hasil kumuhan (najis).

Namun, ramai keliru antara penyakit radang usus (IBD) dan Sindrom Kerengsaan Usus (IBS).

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Sultanah Aminah, Dr Muhammad Firdaus Md Salleh, berkata radang usus adalah penyakit kronik membabitkan keradangan pada usus secara berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan struktur usus pesakit.

"Walaupun gejala seperti cirit-birit adalah sama, namun punca penyakit radang usus dan sindrom kerengsaan usus berbeza.

"Radang usus juga adalah gangguan fungsi, iaitu sistem penghadaman kelihatan normal tetapi tidak sentiasa berfungsi dengan betul.

"Dalam kes ini ia berlaku kecamukan bahan kimia dalam usus yang dihasilkan oleh saraf usus, ketidakstabilan berlaku itu pada sirotonin dan gastrin terutama menyebabkan rasa tidak selesa seperti sakit perut, hendak cirit dan buang air. Tapi ia tidak ada kaitan dengan keradangan.

"Sindrom kerengsaan usus tidak menyebabkan komplikasi yang serius seperti fistula (pembentukan saluran pada dinding usus), atau usus jadi sempit. Selain rasa tidak selesa, senak, kembung perut dan cirit atau susah buang air.

"Situasi itu boleh berlaku sekejap hilang dan jadi semula kebanyakannya berkaitan dengan stres dan cara menangani stres. Dalam keadaan tertekan badan akan mengeluarkan bahan kimia dan menghantar isyarat ke otak dan otak akan hantar semula kepada bahagian tertentu.

"Kemudian ini dihantar ke bahagian usus yang menyebabkan ketidakseimbangan bahan kimia tertentu pada usus yang menyebabkan tidak selesa," katanya.

Gejala radang usus

Mengenai radang usus, Dr Muhammad Firdaus menjelaskan, ia membabitkan keradangan atau boleh ditafsirkan sebagai bengkak pada dinding usus.

Ia juga boleh merosakkan usus dan sistem pencernaan seperti pengumpulan nanah, terbentuknya fistula atau saluran yang tidak normal pada dinding usus dan boleh mengakibatkan usus menjadi sempit.

"Gejalanya termasuk cirit-birit, sakit perut, darah dalam najis, lendir pada najis, merasa sakit ketika membuang air besar. Pesakit mungkin hilang berat badan, demam, sakit sendi atau tumbesaran terbantut pada kanak kanak dan remaja.

"Tiada spesifikasi umur, pesakit radang usus kebanyakannya dideritai oleh orang dewasa, tapi boleh juga terjadi kepada kanak-kanak dan remaja," katanya.

Punca radang usus

Perubahan epidemiologi radang usus dipercayai disebabkan perubahan diet atau tabiat pemakanan.

Penambahbaikan dalam keupayaan dan kecanggihan perubatan juga menyebabkan lebih banyak penyakit ini dikenal pasti.

"Tiada ujian yang dapat mendiagnosa penyakit ini dengan tepat. Penyakit ini dikenal pasti berdasarkan kombinasi gejala dan tanda klinikal, ujian darah, ujian kamera teropong (endoskopi) dan analisa tisu melalui biopsy," katanya. 

Ujian imbasan seperti X-Ray, imbasan tomografi berkomputer (CT San), Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) juga boleh membantu doktor mengenal pasti tahap keterukan penyakit ini," katanya.

Jenis radang usus

Terdapat dua jenis radang usus, iaitu penyakit Crohn's dan ulcerative colitis. Kedua-duanya disebabkan proses keradangan dan hampir sama, namun mempunyai beberapa perbezaan, termasuk perbezaan rawatan.

Penyakit Crohn's dan ulcerative colitis ialah penyakit Crohn's boleh terjadi pada seluruh sistem pencernaan manakala ulcerative colitis pula hanya boleh terjadi di bahagian usus besar.

Rawatan bagi penyakit radang usus bergantung kepada jenisnya, kawasan pada sistem pencernaan penyakit itu terbabit dan tahap keterukan termasuk komplikasi.

"Bagi tahap keterukan minimum, pesakit boleh mengambil ubat anti radang seperti amino salicylate.

"Jika keadaan teruk, pesakit boleh mengambil ubat antiradang jenis steroid, biasanya diberikan secara suntikan, selain ubatan lain seperti biologics.

"Pembedahan biasanya langkah terakhir jika penyakit itu gagal dikawal dengan ubatan," katanya.

Bagi penyakit ulcerative colitis, pembedahan boleh menyembuhkan memandangkan bahagian usus terbabit dibuang.

Bagaimanapun, bagi penyakit crohn's, pembedahan biasanya dilakukan untuk meredakan komplikasi penyakit itu.

Risiko radang usus

Pesakit radang usus ini juga berisiko mendapat kanser kolorektal atau usus jika berlaku dalam jangka masa panjang.

"Keradangan berpanjangan yang lama akan menyebabkan perubahan dalam sel secara berperingkat.

"Peringkat awal ialah keradangan tanpa dysplasia (tiada perubahan pada sel), lama sikit akan menyebabkan berlaku perubahan sel iaitu dysplasia yang tidak berapa jelas.

"Kemudian akan membawa kepada perubahan sel yang lebih jelas, dan ini akan bertambah seiring dengan proses keradangan yang tidak terkawal dan akhirnya perubahan kepada sel itu kepada sel kanser.

Bagi mengurangkan risiko mendapat kanser kolorektal, pesakit boleh mengamalkan perancangan dengan betul, selain diet bagi mengawal gejala seperti cirit-birit dan senak.

Sesetengah makanan akan menyebabkan masalah kepada pesakit.

"Contohnya, minum susu menyebabkan sakit perut kerana ia mengandungi laktos," katanya.

Tangani radang usus

Radang usus memberi tekanan emosi kepada pesakit sekiranya tidak ditangani dengan betul, selain keperluan mengambil ubatan bagi mengelak kemurungan serta rasa tidak tenteram.

Mengikut kajian, kira-kira 69 peratus pesakit radang usus mengalami gangguan kerja disebabkan gejala sakit semasa bekerja dan lain-lain.

Kajian menunjukkan majoriti wanita yang mempunyai penyakit itu berada dalam jangka umur subur.

Ada antara mereka memilih tidak mahu mengandung kerana bimbang menjejaskan kandungan.

Justeru, pengesanan awal sangat penting untuk bagi menangani atau merawat penyakit itu.

Apabila penyakit menjadi aktif kembali, mereka perlu mendapat rawatan lebih intensif.

Dr Muhammad Firdaus, bagi mengurus tekanan emosi mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti seperti senaman.

"Senaman ringan seperti yoga dan berlari antara boleh diamalkan. Namun, senaman berat seperti angkat besi atau berlari pantas tidak digalakkan untuk mengelak kemudaratan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url